SHAH ALAM 25 Okt. - Polis menahan dua pengawal keselamatan dan
seorang wanita yang dipercayai bersubahat dan mempunyai kaitan dengan
suspek yang menembak mati seorang pegawai operasi Ambank di Jalan USJ
Sentral 2, Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Dua pengawal keselamatan terbabit merupakan saudara suspek sementara
wanita itu pula dipercayai isterinya berusia 20-an hingga 30-an.
Kesemua suspek yang merupakan rakyat negara jiran tetapi dipercayai
menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah
di Bukit Kemuning, Klang pada malam hari kejadian.
Susulan penahanan ketiga-tiga mereka, polis turut menemui wang tunai
RM20,000 yang dipercayai sebahagian daripada RM450,000 hasil rompakan
suspek dari peti besi Ambank cawangan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan
awal percaya selepas melarikan diri dari Ambank, suspek telah
mengagih-agihkan sebahagian kecil hasil rompakan termasuk kepada tiga
yang ditahan.
Beliau berkata, wang tunai RM20,000 itu disembunyikan mereka di
sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya dekat sini yang merupakan
tempat kerja dua pengawal keselamatan yang ditahan.
"Kita masih memburu suspek yang dipercayai masih berada di negara
ini bersama hasil rompakan dan selaras pump gun yang digunakan untuk
menembak mati mangsa.
"Siasatan kita juga percaya suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza,
37, bukan berasal dari Sabah tetapi dari negara jiran dan dipercayai
menggunakan kad pengenalan palsu.
"Kini kita sedang menyiasat bagaimana suspek memperolehi kad
pengenalan, serta dibenarkan menggunakan senjata api," kata beliau
kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Difahamkan, suspek yang diburu berasal dari Sulawesi, Indonesia. - UTUSAN ONLINE