PUCHONG – Hanya kerana gagal menjawab soalan yang ditanya, seorang
pelajar di sebuah madrasah di Jengka, Pahang didakwa telah dirotan
sehingga tisu pahanya koyak dan terpaksa menerima 30 jahitan.
Bapa mangsa yang berusia 40 tahun berkata, kejadian malang menimpa anak
ketiganya itu diketahui 27 September lalu selepas dimaklumkan oleh
ibunya yang berada di Pahang.
Sebaik menerima panggilan telefon mengatakan anaknya, pelajar berusia
14 tahun, demam teruk, dia yang menetap di Pangsapuri Enggang Bandar
Kinrara, Puchong bergegas pulang ke kampung pada malam hari sama.
Dia mendapati anaknya hanya terbaring, tidak boleh berjalan dan kaki
mengalami bengkak serta lebam. Apabila bahagian paha ditekan, ia
seolah-olah lembik di bahagian dalam.
Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia kemudian membawa anaknya itu ke
hospital dan pembedahan dilakukan Selasa lalu apabila doktor
memaklumkan bahagian dalaman paha anaknya itu mengalami pendarahan teruk
serta bernanah.
Doktor juga memberitahu kaki anaknya dipercayai dipukul dengan benda keras.
Dakwanya, sejak hari kejadian anaknya tidak boleh tidur malam kerana kaki asyik berdenyut dan sakit.
Apabila ditanya, anaknya itu memberitahu dia dirotan sebanyak 15 kali
oleh seorang ustaz warga Bangladesh yang berkhidmat di madrasah
terbabit.
Beliau berkata, anak sulungnya berusia 16 tahun yang turut menuntut di madrasah sama mendakwa nampak adiknya dirotan.
“Nasib baik ibu saya yang tinggal berhampiran madrasah datang menjenguknya selepas seminggu kejadian, kalau tidak mungkin saya tidak tahu kerana pihak sekolah juga tidak maklumkan,” katanya.
Katanya, anaknya kini trauma dengan apa yang berlaku dan sejak itu dia
terus mengeluarkan kedua-duanya anak dari madrasah terbabit.
Katanya, anaknya yang mula menuntut ilmu agama di madrasah terbabit
sejak Mac lalu masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di
Subang Jaya.
“Sebelum ini mungkin dia pernah dirotan tetapi tidak pernah mengadu
kerana mungkin tidak serius. Bagaimanapun, kali ini saya anggap ia teruk
dan akan menuntut ganti rugi kos perbelanjaan perubatannya,” katanya.
Pengadu turut sedih kerana anaknya mempunyai keinginan tinggi menuntut ilmu agama tetapi diperlakukan sedemikian rupa.
Menurutnya, Jika pihak madrasah enggan penuhi tuntutan ganti rugi, dia akan memfailkan saman berhubung perkara itu.
Turut mengecewakannya apabila pihak madrasah yang berjanji datang
menjenguk anaknya tidak berbuat demikian meski sudah hampir dua minggu
kejadian berlaku. - SH
Buatlah laporan polis.