02 September 2013

Tetap diburu walau didakwa dapat perlindungan


KUCHING - Walaupun kumpulan kongsi gelap didakwa mendapat sokongan atau pelindungan segelintir ahli politik atau orang kenamaan (VIP), pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan jenayah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehubungan itu kumpulan kongsi gelap tidak perlu menganggap diri mereka kebal daripada tindakan undang-undang.

"Kita sudah lihat bagaimana ada orang politik menyuarakan sokongan terhadap penjenayah dan menghentam tindakan polis, namun mereka (penjenayah) ini tidak juga kebal kerana kita tetap teruskan (tangkapan), malah ramai juga yang ditangkap," katanya.

Menurut beliau, kuasa polis tidak akan dapat diatasi walaupun penjenayah mendapat sokongan daripada mana-mana orang politik, penguatkuasaan undang-undang tetap akan dilaksanakan.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Hari Raya Cats FM.
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan Pengarah Eksekutif Radio Cats FM, Datin Hanifah Taib-Alsree.

Sementara itu Wan Junaidi berkata terdapat kira-kira 40,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang masih ditempatkan di depoh tahanan di negara ini berikutan tidak diterima oleh pihak berkuasa di negara asal mereka kerana mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kita jangkakan jumlah Pati di depoh akan bertambah, tambahan pula operasi 6P bermula hari ini. Jika ada keperluan, kita mungkin akan membuka pusat tahanan sementara untuk menempatkan mereka," katanya. - Bernama

Buktikan.