Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat keputusan untuk
meningkatkan simpanan minimum pencarum untuk memastikan mereka mempunyai
lebih wang semasa hari tua, tetapi secara tidak langsung mengurangkan
pelaburan dalam industri unit amanah.
Peraturan baru KWSP untuk mengurangkan pelaburan dalam unit amanah
ditetapkan pada ketika peningkatan kos menunjukkan simpanan pencarum
tidak mencukupi untuk menampung kehidupan semasa bersara selepas berumur
55, lima tahun di bawah umur persaraan ditetapkan kerajaan iaitu 60.
“KWSP akan mengkaji semula jumlah simpanan asas ahlinya kepada
RM196,800 apabila sampai umur 55 bermula Januari 2014, untuk memastikan
simpanan cukup menampung keperluan persaraan,” kata Pengurus Besar
Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar kepada The Malaysian Insider
pada hujung minggu.
Beliau berkata, di bawah skim lama, sasaran simpanan untuk ahlinya
adalah RM120,000 pada umur 55 dan ia tidak mencukupi untuk menampung
kehidupan selepas bersara.
Bagaimanapun, katanya, menerusi skim baru, RM820 sebulan dicarum selama
20 tahun dari umur 55 ke 75 manakala jumlah simpanan minimum yang
ditetapkan pada 2008 ialah RM120,000 pada umur 55.
Katanya, kadar baru ini dikatakan akan menyamai pencen minimum penjawat
awam yang pada ketika ini pada RM820 sebulan supaya pendapatan
persaraan bulanan tidak jatuh di bawah garis kemiskinan.
Dengan semakan semula ini, ahli-ahli perlu mempunyai lebih simpanan
dalam Akaun 1 supaya layak untuk Skim Pelaburan Ahli KWSP, iaitu
simpanan akan dilaburkan dalam unit amanah.
Pada ketika ini, ahli boleh menggunakan 20 peratus daripada baki
simpanan Akaun 1 untuk melabur dalam skim unit amanah diluluskan.
Contohnya, ahli yang berumur 40 tahun dan mempunyai simpanan asas
RM80,000 dalam Akaun 1. Pada ketika ini (2013) lebihannya adalah
RM36,000 (RM80,000 – RM44,000). Dia boleh menggunakan RM7,200 (RM36,000 x
20%) untuk melabur dalam unit amanah diluluskan. Formula ini tidak
terpakai lagi tiga bulan akan datang.
Dengan peraturan baru KWSP pada 2014, dengan RM80,000, lebihannya akan
menjadi hanya RM11,000 (RM80,000-RM69,000). Seseorang hanya boleh
menggunakan RM2,200 (RM11,000 x 20%) untuk melabur dalam mana-mana unit
amanah diluluskan.
Seorang pegawai dari Persekutuan Pengurus-Pengurus Pelaburan Malaysia
(FIMM) yang bercakap dengan syarat namanya dirahsiakan berkata, industri
unit amanah akan terjejas dengan peraturan baru KWSP itu terutama
peruncit.
Industri unit amanah berjumlah RM326 bilion itu melibatkan 50,000
perunding yang mendapatkan komisen dari 1 hingga 3 peratus dari
pelaburan unit amanah.
Peraturan baru juga akan menyebabkan ramai ahli KWSP yang sebelum layak
melabur dalam unit amanah tidak layak di bawah peraturan baru.
Salah satu Syarikat Pengurusan Unit Amanah (UTMC) terkenal adalah
Public Mutual, anak syarikat Public Bank Bhd memperolehi satu pertiga
daripada pendapatan bukan faedah operasi unit amanah. Pada 2012, kurang
10 peratus daripada keuntungan bersih datang dari perniagaan unit amanah
mereka. – 9 September, 2013. - TMI