Seorang guru sekolah menengah di Semenyih, Selangor didakwa meminta
pelajar yang enggan menyanyi dan menghormati lagu kebangsaan agar “balik
ke India (atau) China”.
Laporan Sin Chew Daily menyebut,
pembantu pengetua di SMK Engku Husain berkata demikian semasa
perhimpunan mingguan di sebelah petang pada 23 September.
Beliau didakwa meminta pelajar tersebut “balik” jika tidak menyukai Malaysia.
Akhbar
tersebut melaporkan bahawa sekolah itu telahpun menjalankan siasatan ke
atas perkara berkenaan, yang timbul apabila pelajar terbabit memuatkan
perkara itu di laman Facebook mereka.
Pengetua Abdul Ghafar
Kunchi Mohd memberitahu Sin Chew bahawa kalangan pelajar
terbabit – ada di antaranya tidak memahami bahasa Melayu dengan baik –
sebelum ini dinasihati dan diberi amaran, malah dirotan kerana tidak
menyanyi dan menghormati 'Negaraku' tetapi tidak berkesan.
Ghafar berkata ia mungkin menyebabkan pembantu pengetua terbabit hilang sabar dan mengucapkan kata-kata tersebut.
Katanya, beliau akan meminta guru wanita tersebut menjelaskan perkara tersebut sebaik pulang dari satu kursus esok.
Tambahnya,
kata-kata itu tidak patut diucapkan dan beliau akan meminta guru
tersebut meminta maaf kepada pelajar tersebut semasa perhimpunan.
Laporan
berkenaan turut memetik kenyataan timbalan menteri pelajaran P
Kamalanathan yang berkata kementerian akan menyiasat kes tersebut. - Malaysiakini