Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu
yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya
pada Isnin lalu untuk bersemuka.
Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan
perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi
jenayah di Pulau Pinang sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.
"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.
"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja, telefon mana mahu
jumpa, saya akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu
saya, saya akan pergi," katanya kepada pemberita selepas majlis makan
malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di
Georgetown, malam tadi.
Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kelmarin.
Antara kandungan SMS berkenaan ialah "Hello kepala Penang mau kasi
ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The
Best". Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk "mengambil" Abdul
Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya "mengambil" Abdul Rahim.
Semua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula jam 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya.
Abdul Rahim berkata, sebagai pegawai polis, beliau sudah biasa dengan
SMS berbaur ugutan dan tidak kisah dengan perkara itu kerana apa yang
penting ialah menjalankan tugasnya dalam memastikan keamanan serta
keselamatan masyarakat.
"Saya langsung tidak takut, bimbang dan sebagainya. Kalau saya sebagai
Ketua Polis Negeri takut, bagaimana masyarakat? Kalau tunjuk muka takut,
masam, bagaimana saya nak kekalkan keamanan. Apa yang saya nak takut.
Saya akan lebih tegas lagi dalam perkara ini," katanya.
Katnaya, beliau mengarahkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah negeri
menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengesahkan timbalannya, Datuk A Thaiveegan yang baharu
bertugas minggu lalu, juga menerima SMS berbaur ugutan dan siasatan
berhubung perkara itu sedang dijalankan. - Bernama, 26 September, 2013.
Burulah penjenayah itu dengan teknologi semasa. Kurangkan drama.