Ribuan rakyat Malaysia beratur di hampir semua stesen minyak malam
tadi menjelang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen
seliter, sekaligus menaikkan kemarahan orang ramai kerana pemotongan
subsidi itu.
Kebanyakan pengguna yang ditemui di Lembah Klang menyalahkan Barisan
Nasional (BN) kerana menaikkan harga bahan bakar itu di saat rakyat
terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang makin meningkat dari hari
ke sehari.
Janji Putrajaya untuk meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2014 tidak memberikan kesan kepada penduduk
Lembah Klang kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerimanya
dan bantuan itu hanya diterima sekali sedangkan kesan kenaikan itu
terpaksa ditanggung setiap hari.
Pemberian wang tunai RM500 itu sebelum ini diberikan kepada lima juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Shahrulnizam Mohamad, 29, berkata kenaikan harga minyak bermula tengah
malam tadi dijangkakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
lalu kerana umumnya rakyat mengetahui Pakatan Rakyat (PR) akan
menurunkan harga bahan bakar itu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.
"Kenaikan harga ini sangat memberi kesan kepada rakyat yang
berpendapatan rendah kerana kenderaan seperti kereta memainkan peranan
penting kepada orang awam. Dengan kenaikan harga barang ini, peniaga
juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang," katanya.
Sementara itu, K Primela, 35, berkata kerajaan tidak wajar menaikkan
harga petrol sewaktu rakyat sedang terhimpit dengan kenaikan harga
barang selepas musim perayaan.
"Kerajaan BN 'bijak' mengambil kesempatan selepas beberapa bulan pasca
PRU13 untuk menaikkan harga minyak. Sebelum pilihan raya berjanji untuk
tidak menaikkan harga minyak, tetapi kemudian lain jadinya. Apatah lagi
kini rakyat sudah mula dibebankan dengan kenaikan harga barang. Gaji
tidak pula catat kenaikan tapi harga minyak pula yang naik.
"Rakyat sendiri dapat perhatikan perbuatan buruk kerajaan BN apabila
belum sampai setahun mendapat mandat menerajui negara, sudah tampil
dengan pendekatan membebankan rakyat. Selepas ini, apa pula yang
kerajaan nak naikkan,” katanya, ketika ditemui di sebuah stesen minyak
di Bandar Puteri, Klang malam tadi.
Lim Tai Boon, 46, yang ditemui di tempat sama juga melihat kenaikan harga minyak sebagai permainan politik kerajaan BN.
"Dulu sebelum pilihan raya janji tidak naikkan harga minyak. Lepas BN
menang pilihan raya, lain pula ceritanya. Perkara ini memang tidak
patut, menyusahkan rakyat," katanya.
Pengguna turut kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan
bakar itu kerana tempoh makluman yang diberikan singkat untuk pengguna
bertindak.
Tengku Zarul Tengku Lokman, 37, berkata kenaikan 20 sen seliter satu
tindakan kejam yang dilakukan kerajaan kepada rakyat sambil menjangkakan
harga barang keperluan asas lain turut meningkat ekoran kenaikan harga
bahan bakar.
"Saya tahu mengenai kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial
Facebook. Media kerajaan melalui televisyen dan radio tidak komited
dengan pengumuman itu. Esok bila sudah naik, baru hendak disiarkan. Itu
yang jahatnya kerajaan enggan memaklumkan terlebih awal," katanya.
Amir Azri, 26, pula membayangkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak untuk menaikkan kadar pemberian BR1M tidak praktikal kerana
saguhati itu diberikan sekali sahaja tetapi perbelanjaan petrol adalah
keperluan harian.
"Kadar BR1M yang diterima tidak setimpal dengan kenaikan harga minyak.
BR1M adalah wang pembayar cukai, justeru wang rakyat juga yang digunakan
untuk menjayakan wang saguhati itu," katanya kepada The Malaysian
Insider.
Najib ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel semalam,
menjelaskan kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen
seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, serta menegaskan
kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.
Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna
kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80
sen seliter untuk diesel," kata Najib selepas selesai mempengerusikan
mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Pejabat Perdana Menteri.
Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel naik pada tahun 2010, iaitu mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.
Najib menegaskan langkah itu bagi memastikan sasaran kerajaan mencapai
defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus berbanding Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun
2020.
Perdana menteri memberikan alasan langkah pengurangan subsidi itu
bertujuan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan
subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk
mereka yang kaya dan warga asing.
Katanya, Malaysia perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih
mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas sambil
menjelaskan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung subsidi bahan api
sebanyak RM24.8 bilion untuk tahun ini.
Bagi memastikan kelompok yang lebih memerlukan ini menikmati subsidi,
Najib juga mengumumkan pentadbirannya berjanji akan meningkatkan
pemberian wang tunai BR1M yang akan diumumkan semasa pembentangan bajet
2014 nanti. - 3 September, 2013.
Umno-BN tahu rakyat bising (marah) sekejap sahaja. Lepas beri gula-gula senyaplah dia.