Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris memang penulis blog pro-Umno, Papagomo.
Selain
diperintah membayar RM500,000 dalam satu kes fitnah, Wan Muhammad Azri
turut berdepan dengan prosiding menghina mahkamah berhubung satu lagi
tulisannya yang lain yang mengaitkan hakim yang mendengar kes dan
dianggap memudaratkan badan kehakiman.
Wan Muhammad Azri (kanan) sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah penulis blog kontroversi itu.
Pesuruhjaya
Kehakiman, Vazeer Alam Mydin Meera berkata Wan Mohammad Azri berbohong
kerana walaupun membuat penafian tersebut ketika memberi keterangan,
tetapi penulis blog berusia 30 tahun itu, dalam pernyataan pembelaannya,
mengaku dia adalah Papagomo dan membela diri atas alasan membuat komen
yang adil.
Beliau memutuskan bahawa penulis blog itu tidak
menyesal dengan tindakannya seperti yang dipaparkannya dalam perbicaraan
kes fitnah itu.
Di samping itu, semasa perbicaraan, seorang
penulis blog, yang memberi keterangan sebagai saksi, mengaku mengenali
Wan Muhammad Azri sebagai Papagomo apabila mereka bertemu dalam satu
sidang penulis blog pada tahun 2009. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama
melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri
membayar ganti rugi RM500,000 kepada ahli perniagaan Abdul Razak Mohd
Noor berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blognya.
Pesuruhjaya
Kehakiman Vazeer Alam membuat keputusan itu selepas mendapati Abdul
Razak berjaya membuktikan perkataan-perkataan fitnah dalam artikel yang
ditulis oleh Wan Muhammad Azri itu merujuk kepadanya, dan sebenarnya
memfitnah beliau.
Vazeer
Alam memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar gantirugi am sebanyak
RM200,000 dan gantirugi teladan RM300,000 kepada Abdul Razak, serta
menetapkan kos guaman sebanyak RM50,000, selain membenarkan permohonan
injunksi supaya Wan Muhammad Azri dihalang daripada terus menyiarkan
kata-kata fitnah itu.
Dalam penghakimannya, Vazeer Alam
berkata Abdul Razak selaku plaintif berjaya membuktikan Wan Muhammad
Azri yang menerbitkan artikel itu, meskipun defendan dalam keterangannya
menafikan beliau adalah pemilik blog yang dikenali sebagai 'Papa Gomo'.
Beliau
berkata dalam kes ini, plaintif telah memanggil saksi pertamanya iaitu
Mohd Fauzi Mohd Azmi yang mempunyai blog dikenali sebagai 'Perisik
Rakyat' dan dalam keterangan saksi itu menyatakan beliau dapat mengecam
defendan setelah defendan sendiri memperkenalkan dirinya sebagai 'Papa
Gomo' ketika menghadiri satu persidangan bloggers di Lake View Garden,
Subang Jaya pada 16 Mei 2009.
"Saksi itu, yang turut
diperkenalkan kepada seorang blogger lain yang dikenali sebagai
'Parpukari' semasa persidangan itu berkata beliau telah mengambil gambar
defendan dan 'Parpukari' dan gambar itu dikemukakan sebagai bahan bukti
dalam kes ini," katanya.
Vazeer Alam berkata mahkamah
percaya gambar yang diambil adalah gambar mereka walaupun muka mereka
tidak dapat dilihat dengan jelas kerana mereka cuba melindung separuh
daripada wajah mereka dengan tangan.
"Apabila mahkamah
membandingkan ciri-ciri wajah muka dalam gambar itu dengan ciri-ciri
defendan semasa hadir di mahkamah, saya dapati ianya sama dan jelas
menunjukkan bahawa defendan yang dipaparkan dalam gambar itu," katanya.
Beliau
berkata walaupun defendan menafikan beliau merupakan orang di dalam
gambar itu, mahkamah mendapati penafian defendan adalah satu pembohongan
kerana keterangan Mohd Fauzi bahawa beliau telah berjumpa dengan
defendan dan 'Parpukari' di persidangan itu tidak dicabar oleh peguam
yang mewakili defendan.
Vazeer Alam berkata keterangan Mohd
Fauzi bahawa terdapat nama, gambar serta nombor telefon defendan yang
dimuatkan dalam blog isterinya adalah sama dengan nombor telefon yang
digunakan saksi itu untuk menghubungi blogger yang dikenalinya sebagai
'Papa Gomo' dan keterangan itu juga tidak dicabar oleh peguam.
Katanya,
mahkamah juga mendapati kata-kata yang diterbitkan defendan dalam
artikelnya bukan komen sebaliknya merupakan kata-kata fakta yang tidak
berasas.
"Dalam kes ini plaintif adalah seorang ahli
perniagaan yang dikenali ramai dan kata-kata defendan bahawa plaintif
seorang penipu yang telah keuntungan berjuta-juta ringgit semasa Sukan
Komanwel berkecenderungan merendahkan plaintif dalam pandangan mata
umum," katanya.
Vazeer Alam berkata mahkamah mendapati
perkara memuatkan artikel yang berunsur fitnah dalam sesawang internet
telah berleluasa dan ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab
seperti defendan y bersembunyi di belakang tirai nama samaran atau
'anonymity' untuk menulis apa sahaja yang mereka mahu tanpa mempedulikan
kesan akibat penulisan mereka.
Katanya, mahkamah mengambil
serius terhadap gejala negatif ini yang telah menular tanpa batasan
sejak akhir-akhir ini dan sekiranya tidak dibendung dan dibanteras akan
merosakkan 'social fabric' masyarakat yang berpotensi menggugat
ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Dengan
ini, saya mahu penghakiman yang diberikan diambil sebagai satu teladan
kepada defendan dan juga semua pengguna internet supaya mereka tidak
menyalahgunakan kemudahan ini.
"Sekiranya disalahgunakan,
mahkamah akan mengambil pandangan yang amat serius, seperti pepatah
"sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga" dan
sepandai-pandainya defendan menyembunyikan diri dengan nama samaran,
akhirnya telah didedahkan melalui 'footprint' yang beliau tinggalkan di
alam siber," tegasnya.
Sementara itu, Abdul Razak ketika ditemui pemberita berkata berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah.
"Ini bukan untuk kebaikan diri saya sahaja. Saya telah difitnah oleh blogger," katanya.
Pada
26 Jan, 2012, Abdul Razak, 59, memfailkan saman terhadap Wan Muhammad
Azri, 30, berhubung penerbitan artikel berunsur fitnah dalam blog 'Papa
Gomo' pada 11 Disember 2011.
Dalam pernyataan tuntutan itu,
Abdul Razak mendakwa Wan Muhammad Azri telah mengeluarkan kenyataan
fitnah bahawa beliau merupakan seorang penipu yang telah mengaut
keuntungan berjuta-juta ringgit setelah mendapat kontrak semasa Sukan
Komanwel yang berlangsung di negara ini yang menyebabkan reputasinya
terjejas.
Abdul Razak diwakili peguam Reuben Netto dan Malik Imtiaz Sarwar manakala Wan Muhammad Azri diwakili
Prosiding hina mahkamah 21 Oktober
Sementara itu, Reuben ketika dihubungi Malaysiakini
mengesahkan penghakiman mahkamah hari ini dan berkata hakim itu telah
menolak pembelaan Wan Muhammad Azri atas alasan membuat komen yang adil .
"Perkara yang paling besar adalah mahkamah mengakui bahawa Wan Muhammad Azri adalah Papagomo," katanya.
Selain
itu, Ruben berkata, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk
prosiding menghina terhadap Wan Muhammad Azri berhubung tulisannya yang
lain dalam blognya.
Katanya, prosiding menghina prosiding terhadap Wan Muhammad Azri akan berlangsung pada 21 Oktober.
Selain Abdul Razak, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibahim turut memfailkan saman fitnah terhadap penulis blog tersebut.
Turut memfailkan saman terhadap Wan Muhammad Azri termasuk Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.
Penulis
blog tersebut adalah seorang bekas anggota polis yang telah menjalani
hukuman lapan bulan penjara selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah.
Menjelang pilihan raya umum ke-13, juga dilaporkan Wan Muhammad Azri sebagai pengundi hantu yang didaftarkan secara berasingan dengan IC polis dan IC awam. - Malaysiakini
Boleh nampak jenis apa yang kawan Umno-BN.