Anggota dan pegawai forensik poliis sedang melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap kereta Honda CRV yang dipercayai ditinggalkan suspek. Gambar kecil: Kai Yew |
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 60-an itu melepaskan tiga das tembakan amaran kepada dua penjenayah terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, mangsa berada di tingkat atas rumahnya terdengar bunyi bising, sebelum turun memeriksa ruang tamu rumahnya.
“Mangsa turut membawa sepucuk pistol sebagai perlindungan diri ketika turun dan memerhatikan seorang suspek bertopeng sedang menggeledah rumahnya. Mangsa mengikut pergerakannya dari jauh.
“Suspek yang menemui gugusan kunci pelbagai kereta mewah miliknya sebelum melarikan kereta Bentley yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, walaupun tiga das tembakan amaran dilepaskan, suspek terus memecut kereta terbabit dan cuba merempuh mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa sempat mengelak. Pada masa sama, seorang lagi suspek dipercayai rakannya telah melarikan diri dengan memanjat pagar selepas terkejut terdengar bunyi tembakan terbabit.
“Suspek yang melarikan kereta mewah terbabit terus memecut dan merempuh pintu pagar rumahnya dan meninggalkan kawasan kediaman terbabit. Dalam kejadian itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Anuar berkata, hasil siasatan menemui sebuah kereta jenis Honda CRV di hadapan rumah mangsa dipercayai ditinggalkan suspek.
“Hasil siasatan terbabit, kereta terbabit dilaporkan hilang di Kampung Rapat, Khamis lalu,” katanya.
Kereta Bentley milik mangsa dijumpai di sebuah bengkel di Menglembu ketika operasi memburu suspek dijalankan, semalam. |
“Kita juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun. Kes berjaya diselesaikan dalam masa 12 jam dan polis masih memburu saki baki kumpulan ini yang menggunakan modus operandi yang sama ketika melakukan samun.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun di kediaman dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh,” katanya Anuar. Bagaimanapun, polis meminta seorang lelaki dikenali sebagai Woon Kai Yew, 31, untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit. - SH