KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan jika
cadangan pelarasan kadar tarif elektrik dipersetujui kerajaan, kadarnya
tidak akan membebankan pengguna.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Ir Azman Mohd
berkata malah pengguna domestik dengan penggunaan bulanan bawah 200
kilowat sejam (kwh) tidak akan terjejas daripada pelarasan tarif itu.
"Kira-kira separuh dari lapan juta pengguna merupakan mereka yang
bilnya di bawah 200 kwh iaitu di bawah RM70, dan mereka tidak akan
mengalami kenaikan bagi memastikan mereka tidak terbeban.
"Bagaimanapun sekiranya ada pelarasan semula tarif dibuat, tarif baru
itu akan dipastikan berpatutan... rakyat tidak perlu bimbang, pelarasan
tidak akan dua tiga kali ganda...ada peratusan tertentu tetapi tidak
setinggi itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB
di sini, hari ini.
Beliau juga berkata kadar pelarasan akan diputuskan oleh kerajaan berdasarkan input yang diberi oleh TNB.
"...banyak pertemuan telah dilakukan termasuk yang rasmi untuk membincangkan perkara itu.
"Namun kami pasti kerajaan akan mempertimbangkan sebaik mungkin bagi
kebaikan semua pihak termasuk pengguna dan industri penggunaan eletrik,"
katanya.
Katanya sebarang pelarasan kadar tarif elektrik, jika berlaku pada
masa hadapan, adalah disebabkan kenaikan harga bahan api, bukan untuk
menambah keuntungan TNB.
"TNB neutral, kita tidak rugi apa-apa, seperti sekarang yang rugi
adalah Petronas yang membekalkan Gas Asli Cecair (LNG) sebagai bahan api
kerana terpaksa menanggung harga berkali ganda," katanya.
Katanya ketika ini, Petronas menetapkan harga gas iaitu bahan bakar
utama untuk menjana elektrik pada kadar RM13.70 MMBtu, jauh lebih rendah
berbanding harga pasaran RM40 MMBtu.
Terdahulu, pada majlis itu 130 anak yatim daripada kakitangan TNB
menerima sumbangan RM50 seorang. Turut hadir Pengerusi TNB Tan Sri Leo
Moggie. - Bernama
Belum naik ini pun sudah membebankan. Dasar tidak menjaga kebajikan rakyat.