KAHERAH: Simbol 4 jari yang ditunjukkan oleh Perdana
Menteri Turki, Recap Tayyib Erdogan sewaktu berucap dalam satu himpunan
kini menjadi lambang protes seluruh rakyat Mesir terhadap kekejaman
junta tentera yang membunuh rakyat awam.
Himpunan yang diadakan
di Istanbul itu, bagi mengecam pembunuhan beramai-ramai rakyat awam
Mesir di Dataran Rabaa Adawiya juga merupa tanda sokongan kerajaan Turki
terhadap kerajaan Presiden Mohamad Morsi yang dipilih oleh rakyat Mesir
sendiri.
Sekarang ini, kemana-mana sahaja kita pergi di seluruh
Mesir, lambang ‘4 jari Rabaa’ ini dapat dilihat ditampal di merata-rata
tempat termasuk juga yang dibawa oleh rakyat awam di dalam
demonstrasi-demonstrasi aman yang dianjurkan hampir setiap hari.
Penyokong
Presiden Morsi serta NGO-NGO yang menentang rampasan kuasa tentera di
Mesir melihat lambang ‘4 Rabaa’ ini sebagai sumber inspirasi dan
kekuatan mereka bagi berhadapan dengan kekejaman junta tentera.
Perdana
Menteri Erdogan yang mencetus simbol 4 jari tersebut, menyebutnya
sebagai simbol bagi mengenang medan Rabiatul Adawiyah (Raba’ah) yang
telah dihancurkan oleh rejim tentera Mesir secara rakus.
Simbol 4
jari ini memberi maksud Rabi’ah. Rabi’ah/arba’ah bererti Empat. Oleh
sebab itu, angka 4 dijadikan sebagai simbol mengenang peristiwa di
Rabaah sekaligus membawa maksud keteguhan, kekuatan serta solidariti
terhadap rakyat Mesir yang dibunuh dengan kejam.
Simbol ‘4 jari
Rabaa’ ini juga kini menjadi minat anak-anak muda di seluruh dunia yang
membantah kekejaman junta tentera Mesir dan ia tersebar luas melalui
media sosial seperti Facebook dan twitter.
Lambang ini menjadi
simbol tanda sokongan anak-anak muda seluruh dunia terhadap rakyat Mesir
yang menentang rampasan kuasa junta tentera serta tanda bantahan
terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dataran Rabaa.
Di
Dataran Rabaa inilah pasukan tentera dan polis dilaporkan telah
menyerang dan membakar bangunan hospital yang terletak dalam kawasan
Masjid Rabaah. Hospital itu menjadi pusat rawatan kepada para mangsa
yang cedera dan mayat para syuhada’ ditempatkan.
Jumlah angka
korban di Dataran Rabaa sahaja dianggarkan melebihi kepada 2,000 orang
termasuk 65 orang kanak-kanak dan lebih dari 10,000 rakyat awam yang
cedera.
Inilah realiti politik Mesir terkini. Simbol ‘4 jari
Rabaa’ yang di tunjukkan oleh rakyat kini menjadi sumber inspirasi dan
senjata bagi mereka untuk berhadapan dengan seluruh kekuatan junta
tentera dan polis yang menggunakan gas-gas pemedih mata dan
peluru-peluru hidup terhadap rakyat awam yang tidak berdosa. - Harakahdaily