Beraksi dalam bulan Ramadan merupakan punca skuad Harimau Malaya tewas
dalam tiga perlawanan persahabatan menentang kelab liga Jepun, kata
ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal.
Skuad bola sepak
kebangsaan yang tiba di tanah air hari ini, kalah 2-0 kepada kelab
divisyen satu Shimizu S-Pulse, Shonan Bellmare (5-0) dan kelab divisyen
dua Tokyo Verdy dengan keputusan 5-0.
Mempertahankan skuad
bimbingannya, Rajagobal berkata pemainnya tidak mempamerkan mutu
persembahan sebenar apabila beraksi dalam keadaan berpuasa pada waktu
siang kerana kurang tenaga namun mungkin akan menampilkan aksi berlainan
pada waktu malam.
"Pada perlawanan pertama dengan Shimizu
S-Pulse keputusannya tidak terlalu teruk kerana kita bermain selepas
berbuka namun pada perlawanan persahabatan kedua dan ketiga kita bermain
pada waktu siang," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.
Rajagobal
berkata kekalahan itu memberi pengajaran bahawa jika mahu bermain
dengan kelab-kelab yang berada di tahap tinggi, adalah tidak sesuai
diadakan pada bulan Ramadan.
Kunjungan ke Jepun yang bermula pada
23 Julai lepas itu adalah sebagai persiapan skuad kebangsaan menentang
Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, Oktober
ini.
Ditanya mengenai desakan sesetengah pihak yang meminta
beliau mengundur diri selepas kekalahan memalukan itu, Rajagobal berkata
beliau akan meneruskan tugasnya sehingga kontraknya tamat pada 31 Dis
ini.
"Jika majikan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) buat
keputusan, saya pun akan buat keputusan nanti. Sementara itu, saya akan
jalankan tanggungjawab saya sebagai jurulatih dan jangan ganggu pemain
serta saya," katanya yang mahu terus memberi tumpuan terhadap latihan
menentang Bahrain nanti.
- Bernama