Polis Selangor memberkas tiga lelaki dipercayai anggota Geng 08 di
Padang Jawa, Klang selepas kejadian tembakan di Subang Perdana dan
Lebuhraya Koridor Guthrie dekat Shah Alam, awal pagi ini.
Pemangku
Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata polis turut merampas
sepucuk pistol jenis Smith & Wesson serta beberapa butir peluru
hidup daripada mereka.
"Ketiga-tiga suspek adalah individu
dikehendaki oleh IPD Klang Selatan dan seorang darinya mempunyai empat
rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan samun," katanya pada sidang
media di Shah Alam, hari ini.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 dan 27 tahun dan berasal dari Klang dan Shah Alam itu akan ditahan reman esok, katanya.
Menceritakan
detik sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek, Thaiveegan
berkata sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua
Viva yang dinaiki tiga suspek itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran
sebuah restoran di Subang Perdana kira-kira 2.30 pagi.
Hasil
maklumat awal, polis tidak menolak kemungkinan mereka ke situ untuk
melakukan samun ke atas restoran berkenaan, katanya dan menurutnya
suspek memecut laju kereta sambil melepaskan dua das tembakan ke arah
kereta peronda polis selepas diarahkan keluar untuk pemeriksaan.
"Kereta
peronda polis terus mengejar suspek dari Subang Perdana sehingga ke
Lebuhraya Koridor Guthrie dan ketika itu juga, suspek melepaskan
tembakan (ke arah kereta peronda) namun tidak mengena.
"Ekoran
kejadian tembakan itu, kita terpaksa meminta bantuan dari pasukan
peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya.
Thaiveegan
berkata sebaik tiba di Seksyen 20, Shah Alam, suspek sekali lagi
melepaskan dua lagi das tembakan ke arah polis sebelum memasuki kawasan
Padang Jawa dan kemudiannya Taman Sentosa di Klang sebelum terbabas dan
melanggar sebuah Toyota Hilux serta penghadang jalan.
"Kenderaan rosak dan tidak boleh bergerak menyebabkan ketiga-tiga suspek akhirnya keluar dari kereta dan melarikan diri.
"Namun,
dengan bantuan polis dari IPD Klang, seorang daripada mereka dapat
ditahan manakala suspek kedua yang menyembunyikan diri dalam longkang
berhampiran diberkas sejam kemudian manakala suspek ketiga diberkas
kira-kira 9.15 pagi ini dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan
sama," kata Thaiveegan.
Sementara itu, Polis Perak menahan tiga
individu dipercayai anggota kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan
lima lelaki ditembak mati oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang baru-baru
ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata
penahanan itu merupakan sebahagian daripada Ops Cantas yang dilaksanakan
di negeri ini.
"Mereka dari kumpulan yang sama contohnya macam
Geng 04 atau Geng 08. Di Perak ada (kumpulan itu) dan di sana pun ada,
cuma kita tak boleh hendak pastikan sama ada mereka terlibat secara
langsung atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan perpisahan di Ibu Pejabat Polis
Daerah Batu Gajah di sini hari ini sempena pertukarannya ke Selangor
mulai bulan depan.
Katanya ketiga-tiga individu mengenali lima lelaki yang ditembak mati itu.
Mohd
Shukri berkata polis turut mengenal pasti beberapa kumpulan kongsi
gelap yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negeri ini.
"Saya tak boleh beritahu berapa (kumpulan). Ada geng 04,06,08,36 termasuk kumpulan lain," katanya.
Dalam
kejadian di Sungai Nibong Isnin lepas, polis menembak mati lima anggota
kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki
kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah
dan Negeri Sembilan. - Bernama
Boleh tahan Viva.