PENGALAMAN terjumpa mayat yang tidak diterima bumi antara detik yang
tidak boleh dilupai oleh Solihin Yusoff, 35, sepanjang bergelar penggali
kubur. Ceritanya, pada ketika itu dia sedang menggali sebuah kubur di
Tanah Perkuburan Islam Tanjung Tokong.
Gara-gara tidak mempunyai batu nisan, dia tidak sangka tanah yang digalinya sebenarnya sudah terdapat jasad lain di dalamnya.
“Pada masa itulah saya terkejut apabila mendapati jasad berkenaan masih
ada sedangkan papan keranda sudah pun reput, sementara kain kafan yang
membaluti tubuh mayat berkenaan juga sudah tiada.
“Anehnya, saya dapat lihat jasadnya berwarna merah seakan terbakar dan
wajah semua tidak ada, cuma jasad sahaja sementara kukunya ibarat hidup.
“Kuku mayat berkenaan memanjang seakan hidup dan membelit badannya
sendiri, itu antara pengalaman yang saya tidak akan lupakan sepanjang
hayat,” katanya kepada Sinar Harian.
Kubur bercahaya
Anak kelahiran Kampung Tanjung Tokong itu sudah hampir 25 tahun
bergelar penggali kubur. Dia yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah
syarikat telekomunikasi turut mewarisi bakat menggali kubur daripada
ayahnya.
Seperti mana janji ALLAH SWT, sesiapa yang mengikut ajaran-Nya pasti
akan dipermudahkan di alam barzakh. Solihin bertuah kerana melihat
sendiri keajaiban berkenaan di hadapan matanya pada suatu malam.
Menurutnya, dia pernah menyaksikan kubur bercahaya pada waktu malam
namun kejadian berkenaan tidak dapat dilihat rakan yang lain.
Pada suatu malam ketika dia dan tiga lagi rakan yang lain mahu menggali
kubur, tiba-tiba dilihatnya satu kubur bercahaya seakan diterangi lampu
yang amat cerah.
Pada ketika itu dia memanggil rakannya untuk melihat kejadian berkenaan
namun disanggah rakan-rakan yang lain kerana tidak dapat melihatnya.
“Memang saya sedikit terkejut, tapi itulah kebesaran ALLAH SWT, kubur
berkenaan milik seorang yang boleh digelar ustaz kerana dia adalah guru
agama yang turut mengajar anak Tanjung Tokong membaca al-Quran.
“Malah arwah juga adalah antara orang penting yang memandikan jenazah sekiranya adanya mayat,” katanya.
Solihin mengakui mula seronok datang ke kubur sejak kecil lagi dan
kemudiannya membantu bapanya menggali kubur sejak berusia 12 tahun.
Rasa ada kematian
Mempunyai pengalaman agak luas, lelaki yang sudah pun berkahwin dan
mempunyai seorang anak ini mempunyai teknik tertentu untuk menggali
kubur. Kebiasaannya dia akan mengukur tanah kubur hanya menggunakan
cangkulnya sahaja.
Akibat sudah terlalu biasa dengan kematian, Solihin seakan dapat merasa akan ada kematian yang akan berlaku.
Bukan rekaan, namun itulah yang berlaku terhadap dirinya sehingga
majikannya sendiri menyedari kelakuannya apabila tiba saat dia akan
menggali kubur.
“Ya, saya sendiri dapat rasa diri saya tidak dapat duduk diam dan
selepas itu akan ada perkhabaran orang meninggal dunia dan saya akan
terus ke kubur untuk menggali.
“Saya sendiri tidak pasti mengapa tapi itulah yang berlaku terhadap
diri saya, majikan saya tidak mempunyai masalah untuk melepaskan saya
apabila waktu bekerja untuk ke kubur,” katanya.
Sama seperti orang lain, Solihin akan membaca surah al-Fatihah dan berselawat ketika menjalankan tugasannya di kubur.
“Biasalah orang sentiasa ingat kubur ini tempat menakutkan tetapi kita
tidak boleh bersikap demikian kerana inilah tempat kita akan ‘tinggal’
nanti,” katanya. - SH