Malaysia telah bersedia kehilangan bakat besar apabila polisi
berasaskan kaum diamalkan bagi menjaga kelangsungan bangsa tertentu,
kata Lee Kuan Yew dalam buku barunya yang dilancarkan malam tadi di
Singapura.
Meskipun Malaysia menyedari akan hal ini dan cuba membawa pulang pakar dari luar negara, usaha ini sudah terlambat, katanya.
“Ini faktor yang melemahkan negara. Ia seakan menafikan peluang bagi
pembentukan bakat besar yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Mereka sudah bersedia kehilangan bakat muda bagi mengekalkan dominasi
bangsa tertentu,” katanya menerusi buku 400 muka surat itu yang bertajuk
“One’s Man View of the World” (Pandangan Terhadap Dunia Luar).
Buku tersebut memuatkan perbualan di antara Lee dan idolanya, Helmut
Schmidt, bekas pemimpin Jerman Barat. Mereka membincangkan tentang hal
sedunia sewaktu Schmidt melawat Singapura tahun lalu.
Dalam buku itu juga, Lee menerangkan Malaysia kehilangan punca dan
memberikan negara lain peluang bersaing dalam persekitaran bebas.
Kira-kira 400,000 daripada satu juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, menurut rekod Bank Dunia.
Sewaktu mengumumkan pelan ekonomi lima tahun Malaysia, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak berkata di Parlimen pada 2011, kerajaan akan
menubuhkan Talent Corporation bagi memanggil pulang sebilangan 700,000
rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.
Lee memberitahu dalam bukunya, perubahan demografi Malaysia bakal
melihatkan jurang besar dalam keistimewaan orang Melayu kelak.
Beliau memberi contoh semasa tamatnya Dasar Ekonomi Baru, pecahan populasi bangsa Cina dan India menurun dengan mendadak.
“Kaum Cina berjumlah 35.6 peratus daripada keseluruhan populasi pada
1970, berkurang kepada 24.6 peratus pada bancian 2010. Dalam tempoh
sama, jumlah kaum India mengecil dari 10.8 peratus kepada 7.3 peratus,”
katanya.
Beliau menambah, “40 peratus pendatang asing adalah dari Malaysia.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, kaum Cina dan India gemar berhijrah
ke Eropah, Amerika dan Australia. Ada di antara mereka menjadi individu
hebat seperti Penny Wong yang merupakan Menteri Kewangan Australia. Ada
juga yang memilih untuk masih tinggal di Malaysia, sesetengah mereka
tidak berhajat untuk berhijrah dan ada di antara mereka berjaya melalui
perniagaan meskipun terbeban dengan polisi diskriminasi.
“Kebanyakan kelompok kelas kelas kedua ini menjalinkan hubungan dengan orang Melayu bagi meneguhkan kedudukan mereka," katanya.
Data Bank Dunia pada 2012 menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) per kapita Singapura mencecah $AS51,709 berbanding Malaysia
dengan $AS10,381.
Namun Najib menjelaskan Malaysia bakal menjadi negara maju
berpendapatan tinggi pada 2018, dua tahun lebih awal dari sasaran
menjelang tahun 2020. – 6 Ogos, 2013.
Penny Wong hanya dilahirkan di Sabah. Ibunya seorang warga Australia. Sejak kecil Wong duduk dan hidup di Australia. Kuan Yew memberi contoh yang kurang tepat apabila menyebut nama pengamal lesbian itu.