Seorang lelaki terbunuh apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas
bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya
meletup dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di Tumpat
hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong
Heng berkata kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika Mohd Yusrizal Mat
Zain, 32, cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV
milik abang iparnya.
"Letupan berkenaan menyebabkan mangsa cedera
parah di kedua-dua tangan serta badan dan meninggal dunia di tempat
kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Mohd
Yusrizal yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dan bertugas
sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai,
dikatakan tiba di rumah mentuanya itu malam semalam bagi meraikan
Aidilfitri.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.
Sementara
itu abang ipar mangsa yang enggan dikenali, berkata bungkusan berwarna
hitam berkenaan disedari isteri mangsa ketika membuka pintu rumah yang
kemudian memaklumkan kepada mangsa.
Mangsa kemudian keluar daripada rumah untuk mengambil bungkusan itu sebelum mereka terdengar bunyi letupan, katanya.
Seorang
jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, yang sedang berehat di luar rumah,
berkata dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah rumah mentua mangsa.
"Ini
disusuli rasa bergegar, kemudian saya terdengar jeritan meminta tolong,
saya pergi ke arah jeritan meminta tolong itu dan nampak seorang wanita
iaitu isteri mangsa duduk dekat mangsa," katanya.
Ketika berita
ini ditulis, polis masih membuat siasatan di tempat kejadian. Menurut
Lai kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama
Aman sangatlah Malaysia.