25 August 2013

Enam nyaris maut ditembak

NIBONG TEBAL 24 Ogos - Enam pelanggan lelaki sebuah kopitiam di Taman Kasawari, Simpang Ampat di sini nyaris maut selepas dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan secara rambang malam tadi.


Dalam kejadian pukul 10.45 malam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap itu, kesemua mangsa sedang minum sebelum muncul dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha LC.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua suspek itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah pelanggan sehingga mengenai enam lelaki berusia 20 hingga 50 tahun sebelum melarikan diri.

"Dua tembakan mengenai dua lelaki di bahagian rusuk dan punggung manakala empat lagi mangsa mengalami luka-luka di beberapa bahagian badan akibat terkena serpihan peluru," katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Abdul Rahim berkata, kesemua mangsa yang cedera itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Beliau berkata, menurut saksi yang berada di premis itu, kedua-dua suspek memakai topi keledar penutup penuh.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.
"Kita belum tahu motif sebenar kejadian, tetapi percaya mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap. Polis tidak akan berdiam diri dan akan cari mereka yang terbabit dalam kes ini," ujarnya. - Utusan