Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi maut manakala
isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta
selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong
Ceylon, di ibu negara hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa
berkata kejadian berlaku pada 2 petang ketika mangsa datang ke tokong
itu berjumpa dengan seorang rakannya untuk berbincang mengenai urusan
jual beli saham.
"Selang beberapa minit kemudian, mangsa
didatangi seorang suspek lelaki dari arah belakang melepaskan tembakan
rambang kepada kedua-dua mangsa yang ketika itu menuju ke parkir kereta.
"Hussain,75,
terkena dua das tembakan di bahagian dada dan di sebelah rusuk kiri
manakala isterinya, 49, terkena dua das tembakan di pergelangan tangan
kiri serta di paha kanan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau
berkata mangsa disahkan mati di tempat kejadian dan dihantar ke
Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat manakala isterinya
dihantar ke Hospital Tung Shin di ibu negara untuk rawatan.
Khairi
berkata siasatan awal mendapati tiga suspek lelaki berumur lingkungan
35 hingga 40 tahun telah menunggu mangsa di luar tokong semasa mangsa
sedang berbincang.
"Suspek meloloskan diri menggunakan teksi.
Punca sebenar belum diketahui tetapi dipercayai mempunyai kaitan dengan
perniagaan," katanya.
Sementara itu, seorang saksi yang mahu
dikenali sebagai Lim, 50, berkata suspek didatangi seorang lelaki dari
arah belakang sebaik keluar dari tokong itu.
"Tiba-tiba saya
terdengar bunyi tembakan lebih dari lima das dilepaskan. Suspek kemudian
melarikan diri ke bahagian tepi tokong dengan sebuah teksi," katanya
ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Lee mendakwa suspek dilihat memakai pakaian sukan, bercermin mata serta bertopi. - Bernama
Apa sudah jadi dengan Malaysia di bawah kepimpinan Najib?