14 July 2013

Kesatuan dakwa guru mohon 10 kali tukar negeri tapi ‘tak boleh’

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan menubuhkanjawatankuasa bertindak bagi menangani masalah pertukaran guru.

Setiausaha Agung KPPK Malaysia Lok Yim Pheng, berkata pihaknya sedia maklum berhubung masalah pertukaran guru kerana menerima tidak kurang 10,000 permohonan setiap tahun.
Beliau berkata, permohonan pertukaran guru kadangkala mencecah 20,000 setahun, namun masalah utamanya ialah kekurangan jawatan kosong.

"Ini berlaku kerana guru memilih untuk balik kampung atau, sama ada mengikut suami atau isteri, atau negeri yang mereka sudah membeli rumah," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.
Lok bagaimanapun, berkata KPPK berpendapat jawatankuasa bertindak perlu menangani masalah itu dengan berhati-hati dan harus mengambil kira banyak perkara.

"Keutamaan perlu diberi kepada guru yang memohon melebihi tiga kali. Mereka harus diberi perhatian khas kerana ada rekod permohonan mencecah 10 kali. Ini kisah benar, dia nak balik tapi tak boleh," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan perlu mendahulukan guru yang lebih lama memohon.

Lok juga berharap KPPK diberi tempat dalam jawatankuasa bertindak kerana selama ini kesatuan banyak terlibat dengan kes pertukaran guru. - Bernama, 14 Julai, 2013