KOTA BHARU 28 Julai - Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor
dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di
sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas
seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa
melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa di dalam kereta
peronda polis, empat tahun lalu.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh,
Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Saya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah
terhadap kes pendakwaan, dengan itu, tertuduh didapati bersalah untuk
kedua-dua pertuduhan," kata Azman.
Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii
dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan
seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton
Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2
pagi, 2 Oktober 2009.
Bapa empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun
Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga 20 tahun
dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama.
Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat
atau mana-mana dua seksaan itu jika disabitkan.
Azman mengarahkan tertuduh dihukum penjara 14 tahun dan lima sebatan
bagi pertuduhan pertama serta enam tahun penjara dan lima sebatan bagi
pertuduhan kedua manakala hukuman pemenjaraan diarahkan berjalan
serentak menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara
selama 14 tahun.
Pendakwaan semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan
Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri
Mohamed.
Sukri sebelum hukuman dijatuhkan memberitahu mahkamah bahawa tertuduh
sudah berkahwin dan mempunyai anak antara umur lapan tahun hingga 23
tahun yang mana kesemuanya masih belajar manakala isterinya seorang suri
rumah.
Akibat sabitan ini tertuduh akan kehilangan pekerjaan dan tentunya
hukuman ini satu yang perit bagi tertuduh dan masa depan dia serta
keluarga," katanya.
Intan Nor Hilwani meminta supaya hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana kedua-dua kesalahan itu adalah serius.
Tertuduh juga merupakan seorang polis yang mana sepatutnya menjadi
pelindung masyarakat tapi dia sebaliknya dalam kes ini," katanya.
Azman bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman
setelah pihak pembelaan memohon sedemikian untuk membuat rayuan di
Mahkamah Tinggi. - Utusan