Kerajaan belum bincang pemberian bonus Aidilfitri
PUTRAJAYA - Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus
kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini,
kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan
Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.
"Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi
selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada
output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan
sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk
skim-skim tertentu.
"Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres
Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk
pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka
disambut pada 8 Ogos ini.
Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk 'Meningkatkan Kualiti Kawal
Selia dan portal 'Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan
Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia'.
Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia
(MPC). Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian
bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji
dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas
sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat
persediaan menyambut Aidilfitri. - Bernama
Hukuman bagi penjawat awam kerana majoriti sokong Pakatan Rakyat?