Home | Malaysiakini | Sinar Harian | Astro Awani | BHarian | Kosmo | Malaysia Gazette | HMetro | Mstar | Bernama | Majoriti | Gempak | Bebas News | Carigold | Blogger |
16 July 2013
‘Blogger seks’ digesa serah diri atau berdepan ditangkap polis
Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta pasangan 'blogger seks', Alvin Tan dan Vivian Lee segera menyerah diri sebelum mereka ditahan atas perbuatan mereka baru-baru ini yang dilihat sebagai mempersenda bulan Ramadan.
Ketua Polis Negara itu, berkata pasangan itu disiasat atas dakwaan menimbulkan kebencian kaum dan agama serta cuba mewujudkan keadaan yang tidak tenteram.
Khalid menggesa mereka menyerah diri serta merta sebelum mereka diburu polis.
Pagi tadi, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pasangan itu mungkin disiasat mengikut Akta Hasutan ekoran provokasi melampau di bulan Ramadan yang mengundang kemarahan orang Islam.
"Ya, Akta Hasutan. Pertimbangan harus dan akan dibuat," kata Peguam Negara itu pada sidang media hari ini.
Pasangan itu mengirim sekeping gambar di laman Facebook Khamis lalu dengan mengucapkan “Selamat Berbuka Puasa” sementara menikmati ‘bak kut teh’ (sup herba babi), selain logo Halal dipamer pada gambar berkenaan.
Facebook menutup akaun berkenaan selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjalankan siasatan berikutan laporan orang awam.
Pasangan yang sering menimbulkan kontroversi, kemudian memohon maaf dalam satu kiriman YouTube dengan mendakwa perbuatan mereka hanya satu jenaka.
SKMM, bagaimanapun, tidak melihat isu berkenaan sebagai lucu.
Semalam. Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Pemantauan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata siasatan akan dilengkapkan minggu ini dan polis juga menjalankan siasatan sendiri.
Pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara setahun atau denda RM50,000. - 16 Julai 2013.