12 July 2013

AS teruskan penghantaran F-16 kepada Mesir

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) dikatakan merancang untuk meneruskan penghantaran empat unit jet pejuang F-16 ke Mesir dalam tempoh beberapa minggu lagi.


Pendedahan itu dibuat ketika pentadbiran AS mengambil sikap berhati-hati dengan tidak menyokong atau menyifatkan tindakan tentera menggulingkan bekas Perdana Menteri Mesir, Mohammed Morsi sebagai satu bentuk rampasan kuasa.

Sekiranya AS menyifatkan tindakan tentera sebagai rampasan kuasa, mengikut undang-undang AS, Washington perlu menghentikan bantuan ketenteraan kepada Mesir.

Jet pejuang itu adalah sebahagian daripada bantuan tahunan berjumlah AS$1.5 bilion (RM4.75 bilion). Ia dibina oleh pembekal utama Pentagon, Lockheed Martin Corp.

"Kami berpendapat tidak perlu untuk menukar program bantuan AS kepada Mesir secara tiba-tiba," kata jurucakap White House, Jay Carney.

Lapan buah lagi jet pejuang F-16 dijangka dihantar pada Disember depan. Ia merupakan sebahagian daripada pakej melibatkan 20 unit F-16 dengan lapan unit telah pun dihantar kepada Mesir sebelum ini.

Mesir merupakan penerima bantuan ketenteraan terbesar daripada AS sejak ia menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1979. - Reuters