PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang
serta badan-badan bukan kerajaan(NGO)mewakili masyarakat India, supaya
tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga
individu dalam tahanan polis baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan
sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut
tahanan di lokap.
"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka
terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi
diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal
kematian.
"Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian
yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya
keinginan Pengarah Strategik MIC S. Vell Paari bersama NGO berasaskan
India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian
berterusan individu India dalam tahanan polis.
Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis
negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya
pegawai kanan.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini.
"Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga
menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang
berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya.
Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat
perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan
keadilan.
"Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan
timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini.
"Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi
tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal
kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang
bertugas dalam menyoalsiasat tahanan.
"SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan
di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan
kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang
berkenaan," katanya.
Ditanya sama ada pegawai polis yang menyiasat N.Dharmendran telah
digantung kerja, Ahmad Zahid berkata proses itu sedang dilakukan.
Tiga insiden kematian tahanan terbaharu ialah; R. Jamesh Ramesh, 40,
yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah.
N. Dharmendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P.Karuna
Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis
di Tampin Sabtu lalu. - Bernama