Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan
Omar menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit kerana akan mengangkat
sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen meskipun mempertikai keputusan
pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata pembangkang cepat berubah pendirian dan setiap perbuatan mereka tidak selari dengan prinsip.
"Mereka
menang 89 kerusi (Parlimen) dan tiga negeri menang semuanya lebih dua
pertiga kerusi, tetapi di jalan raya mereka menolak keputusan pilihan
raya dan ini perkara yang betul-betul hipokrit.
"Prinsip tidak
sama dengan perbuatan, prinsip kononnya tidak boleh menerima keputusan
pilihan raya, tetapi perbuatannya? Kita tengok sekarang, cepat-cepat
angkat sumpah, cepat-cepat ubah (pendirian), sebelum ini cuma nak
boikot, taklimat dia kata," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita pada majlis syarahan jamuan tengah hari anjuran Jabatan
Hal Ehwal Khas (JASA) dan Institut Perkembangan Minda (INMIND) bertajuk
'PRU13: Terima Keputusan Rakyat' di Kuala Lumpur hari ini.
Selain
itu, Wan Ahmad berkata pembangkang juga dilihat hipokrit apabila
mendakwa sistem pilihan raya negara ini tidak adil namun mereka tetap
menghantar calon bertanding.
"Kalau pembangkang tidak yakin
daripada mula tentang undang-undang pilihan raya, ketelusan pilihan raya
dan kononnya berlaku penipuan... mereka tidak perlu bersusah payah
untuk menyertai pilihan raya.
"Tetapi dia masuk bertanding sebab
percaya pilihan raya kita adil, percaya boleh mendapat kemenangan
kerana kemenangan ada di tangan rakyat. Mereka menang, dapat tubuh
kerajaan, dapat pecahkan monopoli parti pemerintah," katanya.
Beliau
berkata pembangkang hanya mempergunakan rakyat bagi menyokong prinsip
tidak menerima keputusan pilihan raya dengan mengheret mereka ke
perhimpunan jalanan, namun pada masa sama mengakui diri wakil rakyat
yang dilantik menerusi proses pilihan raya.
Wan Ahmad juga
berkata SPR tidak akan melayan segala desakan pembangkang kerana
tuntutan mereka di luar garis perlembagaan dan peruntukan undang-undang.
"Pembangkang
tuntut SPR untuk letak jawatan, tidak masuk akal sebab menurut
Perlembagaan, itu bukan caranya; menuntut pilihan raya diadakan semula
di 30 kawasan yang mereka menang kecil, tidak masuk akal sebab kalau
mereka tidak percaya keputusan pilihan raya, buat bantahan melalui
petisyen pilihan raya, dalam Perlembagaan, Perkara 118.
"Selain
itu, mereka menuntut kajian semula persempadanan ditangguhkan sementara,
menurut Perlembagaan ia perlu dibuat selepas tempoh lapan tahun, sudah
sampai masanya dan tidak boleh dilengahkan.
"Bagaimanapun,
mereka mahu perkara itu dibuat sehingga dapat lantikan SPR baharu. Nak
lantik di bawah undang-undang mana?" soalnya. -Bernama
Bukan menolak keputusan pilihanraya tetapi menolak penipuan SPR. Contohnya SPR kata dakwat itu kekal tetapi hakikatnya tidak. Kalau orang kata dia itu Umno, tidaklah hairan.