Sisa-sisa projek kereta nasional akan berakhir tidak lama lagi kerana
Putrajaya akan menggantikan penggunaan Proton Perdana V6 yang telah lama
sebagai limosin rasmi dengan Honda Accord sementara kerajaan negeri
Pahang akan menggunakan Volkswagen Passat.
Kedua-dua model sekarang ini dipasang oleh pemegang saham
terbesar Proton Bhd iaitu DRB-Hicom Bhd di Pekan di mana ahli
Parlimennya adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kenderaan baru itu untuk menteri Kabinet, timbalan menteri dan
ahli majlis kerajaan negeri (Exco). Jumlah kos keseluruhan pembelian
masih belum ditentukan.
Kerajaan negeri lain perlahan-lahan telah menggantikan Perdana
yang mempunyai kapasiti enjin dua liter dan dibuat pada tahun 2010 –
sekarang ini terbukti mahal untuk diselenggara.
The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua kerajaan
pusat dan kerajaan negeri Pahang telah menolak Toyota Camry sebagai
kenderaan rasmi mereka kerana ianya dipasang di negara jiran Thailand.
“Pertimbangan utama adalah kenderaan mestilah dipasang di sini,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Beliau mengatakan Putrajaya akan menggunakan model Honda Accord
berkapasiti enjin 2.4 liter sementara kerajaan Pahang akan mengambil
Volkswagen Passat berkapasiti enjin 2.0 liter. Difahamkan, sebuah
Volkswagen Toureg juga telah dibeli untuk kerajaan negeri Pahang.
Penggantian lain bagi Perdana termasuk Mercedes-Benz E200
Kompressor oleh kerajaan Terengganu pada tahun 2008, menggantikan
Perdana V6 Eksekutif tahun 2004 mereka.
Kedua-dua Selangor dan Perak juga telah menggantikan Perdana
mereka dengan Toyota Camry sementara kerajaan negeri Sabah menggunakan
Volvo S80s.
Proton telah melancarkan model berkos rendah Saga SV hujung
minggu lalu akan tetapi tidak menyatakan sama ada akan mengeluarkan
model berkuasa tinggi yang boleh menggantikan Perdana.
Terdapat spekulasi tentang model baru Perdana berasaskan Passat
apabila perjanjian diantara Proton dan Volkswagen dibincangkan sekitar
2004-2007. Akan tetapi rancangan itu dibatalkan apabila Volkswagen
mengumumkan rundingan kerjasama menemui kegagalan.
Terdapat juga perbincangan diantara Proton dan Mitsubishi pada
2005 untuk model baru Perdana berasaskan Mitsubishi 380 sedan yang
menghentikan pengeluaran pada 2008.
Spekulasi lain tentang penggantian Perdana adalah menggunakan
platform Proton Exora iaitu Nissan Fuga atau berkongsi casis dengan
Honda Accord akan tetapi tiada perkembangan.
Perdana merupakan model terbaik Proton yang menggeluarkan model
pertama Saga pada tahun 1985 dalam program industri berat dimulakan oleh
perdana menteri paling lama berkhidmat Malaysia, Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Perdana SEi diperkenalkan buat pertama kali sedekad selepas model
pertamanya dan dibuat dari 1995 hingga 1998. Ia berdasarkan kepada
platform Mitsubishi Galant dan menggunakan enjin 2.0L 4G63 SOHC pembuat
kereta Jepun itu.
Generasi pertama Perdana merupakan model pertama Proton
menawarkan sistem brek anti-kunci (ABS) dan kawalan pemanduan. Pada
tahun 1997, Perdana diberikan wajah baru dengan jeriji krom, reka bentuk
rim baru, warna badan yang baru dan hiasan dalaman dipertingkatkan.
Pada tahun 1999 Proton menggeluarkan Perdana yang menggunakan
enjin Mitsubishi 2.0L 6A12 V6 dengan bodykit dan rim 16 inci. Pada tahun
2003, Perdana V6 telah melakukan prubahan yang besar dan diberi wajah
serta bumper baru. Di dalam, perubahan besar turut dilakukan. Model ini
kekal dijual sehingga awal 2010.
Terdapat juga Proton Perdana V6 versi mewah dengan kepanjangan
melebihi 25 cm (10 inci) di pintu sisi - di gelar Proton Perdana V6
Executive yang diubah oleh Automotive Conversion Engineering (ACE),
salah satu unit EON - khusus dalam membangunkan limosin untuk negarawan.
Seperti Perdana asal, Perdana V6 juga tidak dieksport ke Eropah. - TMI