Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara seorang
bekas guru agama dan seorang sukarelawan yang menyebabkan kematian
seorang penghuni Rumah Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) lima
tahun lepas, daripada 15 tahun kepada 20 tahun.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak
rayuan Mohammed Azizi Mohd Vello, 30, dan Mohd Shuhaidi Mohamad, 31,
terhadap sabitan dan hukuman 15 tahun penjara ke atas mereka yang
diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 29 Feb tahun lepas.
Nurchaya turut menolak permohonan peguam Abdul Halem Mohamad Husin
yang mewakili Mohammed Azizi dan Mohd Shuhaidi agar pelaksanaan hukuman
ke atas kedua-dua anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di
Mahkamah Rayuan.
Sebaliknya beliau memerintahkan Mohammed Azizi menjalani hukuman itu
berkuatkuasa dari tarikh dia dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen pada 29
Feb tahun lepas manakala hukuman penjara ke atas Mohd Shuhaidi
diarahkan berkuatkuasa hari ini berikutan tertuduh berada dalam jaminan.
Pada 29 Feb tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin
menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas kedua-dua tertuduh selepas
didapati bersalah menyebabkan kematian Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23,
di Perkid yang beralamat di No: 9, Jalan Sentosa, Batu 14, Hulu Langat,
kira-kira pukul 11 pagi, 26 Jun 2008.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.
Mengikut keterangan kes, mangsa yang pengsan selepas kejadian itu
telah dikejarkan ke Hospital Ampang tetapi disahkan meninggal dunia dan
punca kematiannya adalah akibat hentakan senjata tumpul di kepala.
Doktor turut mengesahkan terdapat 70 luka pada badan, kepala, muka, paha dan kaki mangsa.
Seramai 18 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Mohammed Azizi, sukarelawan di Perkid, sebuah badan bukan kerajaan
yang menumpukan kepada isu seperti murtad di kalangan orang Melayu
Islam, dadah dan akhlak, menyertai rumah kebajikan itu pada awal 2007
untuk menerima rawatan dan sebaik pulih menawarkan diri sebagai
sukarelawan di pusat itu.
Mohd Shuhaidi yang juga ketua operasi Perkid Hulu Langat pula menyertai rumah kebajikan itu pada 2004.
Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum hadir bagi pihak responden
sementara peguam M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri hadir sebagai peguam
pemerhati bagi keluarga mangsa. - Bernama, 21 Jun, 2013.
Tiada pertempuran jika polis amal sikap profesional.