04 June 2013

MBSA diminta pertimbang kenaikan caj tempat letak kereta 60 sen sejam

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diminta mempertimbangkan cadangannya untuk menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata sekiranya kadar baru itu dilaksanakan ia akan membebankan penduduk berpendapatan rendah di bandar raya itu.

Beliau berkata, pihaknya tidak nampak keperluan untuk menaikkan kadar sedia ada memandangkan kedudukan kewangan dan pentadbiran MBSA berada dalam keadaan kukuh dan stabil.

"Sepatutnya MBSA perlu berbangga dengan kadar rendah sedia ada yang boleh dicontohi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan lain dan sepatutnya sistem bayaran tempat letak kereta sedia ada dinaik taraf bagi memastikan penduduk Shah Alam membuat bayaran ketika meletak kenderaan masing-masing. MBSA perlu berkhidmat kepada penduduk Shah Alam bukan menambah masalah kepada mereka," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan mengumumkan MBSA akan menaikkan kadar bayaran tempat letak kereta di kawasan pentadbirannya daripada 40 sen sejam kepada 60 sen sejam dalam masa terdekat.

Beliau berkata, ini berikutan kadar 40 sen yang diperkenalkan sejak 1998 sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa dan status Shah Alam sebagai bandar raya.

Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor menggesa supaya MBSA menarik balik kelulusan pembinaan panggung wayang di Alam Avenue 2, Seksyen 16 di sini yang mendapat bantahan daripada penduduk sekitar.

Beliau berkata, MBSA sepatutnya mengambil kira pandangan penduduk sebelum meluluskan pindaan pada pelan asal yang sepatutnya tiada pembinaan panggung wayang.

"Saya sebelum ini telah menulis pada pihak istana untuk pertimbangkan perkara ini dan pihak istana menyatakan bahawa mereka tiada halangan (tentang pembinaan panggung wayang) tetapi keputusan terserah kepada MBSA. Saya kemudian telah menulis kepada Datuk Bandar tetapi sehingga kini tiada respons diberikan," katanya. - BERNAMA

Siapa yang berkuasa di Shah Alam. Menteri Besar atau Datuk Bandar?