KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin hari
ini menyarankan DAP supaya menyertai Barisan Nasional (BN) bagi
memastikan kerajaan Malaysia diwakili kaum Cina.
Katanya langkah itu memang sukar diterima oleh DAP dan BN serta
penyokong masing-masing tetapi perlu dilakukan demi keharmonian dan
kestabilan politik negara.
"Memang sukar untuk DAP menawarkan diri dan sukar juga untuk kerajaan
BN menerimanya, tetapi hal ini harus dilihat dari segi hasrat Datuk Seri
Najib Tun Razak untuk melangkah ke arah national reconciliation setelah
negara dilanda Tsunami Cina yang mencedera parahkan nilai kejatian diri
Malaysia," katanya dalam blognya Zamkata.
Katanya orang Cina yang kini berada dalam euphoria kemenangan belum
dapat kesakitannya (tidak diwakili dalam kerajaan), tetapi dalam jangka
masa yang tidak panjang, mereka akan menyedari kesilapan besar yang
telah dilakukan (menolak BN enbloc).
BN memenangi 133 kerusi, pakatan rakyat 89 dalam pilihan raya umum
ke-13 Ahad lalu. Najib mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di
hadapan Yang di-Pertuan Agong Isnin lalu dengan ketiadaan wakil kaum
Cina dalam kabinetnya yang bakal dibentuk.
Ini kerana pucuk pimpinan MCA, yang memenangi tujuh daripada 37 kerusi
ditandingi parti komponen BN itu, memutuskan tidak mahu menganggotai
jemaah menteri baharu Najib.
Sebuah lagi parti dominan kaum Cina dalam BN, Gerakan juga ditolak
pengundi Cina dengan hanya memenangi satu kerusi Dewan Rakyat.
Zainuddin berkata: "Masyarakat Cina yang mengharapkan penghapusan
kerajaan dominan Melayu BN telah dihadiahkan oleh DAP dengan sebuah
kerajaan tanpa orang Cina."
Justeru DAP sedang menghadapi tekanan amat berat daripada masyarakat
Cina yang kecewa untuk mendapat perubahan kerajaan seperti yang
diyakinkan kepada mereka oleh penasihatnya, Lim Kit Siang, dan Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, katanya.
"Maka itu kita dapat melihat keadaan mereka berdua seperti cacing
kepanasan setelah mencapai kemenangan besar yang tidak mencecah
Putrajaya.
"Dan kerana itu mereka mahu kembali ke jalan raya untuk menutup
kegagalan mereka dan mengelirukan pengikut-pengikut terhadap pembohongan
dan penipuan mereka dengan menuding jari ke pihak lain," katanya.
Katanya jalan terbuka bagi DAP untuk menenangkan kemarahan masyarakat
Cina kepadanya ialah dengan menawarkan penyertaan DAP dalam kerajaan,
kerana ia parti yang mewakili orang Cina Malaysia sekarang yang terbukti
dengan keupayaannya mendapat 38 kerusi berbanding MCA hanya 7 kerusi.
Zainuddin berkata untuk menyelamatkan maruahnya, DAP tentunya
memerlukan sokongan daripada masyarakat Cina untuk membuat tawaran
kepada kerajaan.
"Dan tentunya sikap mereka yang pragmatik, materialistik dan realisitik
memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang sesuai dengan
kepentingan orang Cina," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, halangan terbesar ialah PKR yang pastinya sama
sekali tidak dapat menyertai jemaah menteri baharu kerana kepimpinannya
menghadapi rayuan kes tuduhan meliwat yang belum selesai.
Katanya DAP harus menimbang untung rugi berada di luar kerajaan
berbanding jika DAP berada dalam kerajaan untuk jangka masa lima tahun
akan datang.
Antara faktor yang DAP dan BN perlu ambil kira ialah jurang politik
yang wujud jika kedua-dua pihak terus bertegang di atas dasar
masing-masing yang sudah tidak sezaman dengan Nasionalisme Malaysia
Baharu.
Jika Pas sanggup mengorbankan dasar negara Islamnya untuk bekerjasama
dengan DAP, maka tentunya DAP dan BN juga dapat mengambil langkah yang
dinamik dalam politik, ujarnya.
"Kedua-dua pihak mestilah sanggup untuk bertolak ansur dan mengorbankan
prinsip keras masing-masing yang sudah tidak praktikal dan lapuk untuk
disesuaikan dengan cita rasa generasi baharu Malaysia," katanya.
Katanya jika DAP dapat bekerjasama dengan Pas yang langsung tidak
mempunyai persamaan nilai agama, ekonomi dan sosial, maka tentunya lebih
mudah untuk bekerjasama dengan BN yang liberal tanpa ideologi yang
keras.- Bernama
Sebagai langkah pertama ke arah itu. Apa kata kamu masuk menjadi ahli DAP dahulu.