KUALA LUMPUR, 18 Mei — Putrajaya tidak akan berkompromi tetapi akan
mengambil tindakan tegas ke atas Pakatan Rakyat (PR) jika mencetuskan
kekecohan di jalanan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi.
Akhbar harian pro-Umno, Utusan Malaysia melaporkan Ahmad Zahid (gambar) berkata
hari ini pencegahan lebih baik daripada merawat, ia susulan berpuluh
ribu orang ramai membanjiri enam siri jelajah PR seluruh negara ke atas
dakwaan penipuan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.
“Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas,”
kata Ahmad Zahid yang dipetik berkata di muda depan akhbar berbahasa
Melayu tersebut.
Artikel muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk “KDN:
Tiada kompromi” dan menteri kabinet baru tersebut dipetik berkata
“Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal
itu lebih murah ‘harganya’ berbanding penyelesaian masalah”.
Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh
polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka
yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.
Dalam Operasi Lalang ini, seramai 106 ahli politik terutama parti
pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),
penangkapan kedua terbesar dalam sejarah negara sejak berlaku insiden
pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969.
Walaubagaimanapun, ISA yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan
telah dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dimana kerajaan tidak boleh
menahan tanpa perbicaraan.
Aktivis hak asasi manusia, bagaimanapun, telah mengkritik
undang-undang baru tersebut kerana ia memberikan kuasa luas kepada
kerajaan untuk mentakrif sebarang bentuk ancaman daripada pembangkang
dan mendakwa mereka.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan ketelusan
pilihan raya baru-baru ini serta enggan mengiktiraf kerajaan Barisan
Nasional (BN) serta menuduh pilihan raya umum 5 Mei penuh dengan
penipuan.
Jumlah undi popular yang diperoleh PR ialah 5.5 juta undi dengan 89
kerusi Parlimen manakala BN mendapat 5.2 juta undi dengan 133 kerusi
Parlimen, keputusan yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara sejak
mencapai Kemerdekaan 1957.
Ahli Parlimen Bagan Datoh BN tersebut yang baru dilantik dalam
Kabinet baru-baru ini menunjukkan kelantangannya apabila menggesa
pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di
Malaysia supaya berpindah ke negara republik.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote yang
digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke
negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.
“Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik
mereka. Jika benar setia kepada negara kena terima sistem politik yang
membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan,” kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam Utusan Malaysia pada
16 Mei.
Malah, akhbar MCA hari ini juga melaporkan Ahmad Zahid mempertahankan
kenyataannya serta menegaskan kata-katanya telah diambil luar konteks.
“Saya sebenarnya berkata siapa yang tidak yakin dengan sistem politik
kita untuk ‘berhijrah’ ke negara yang bersesuaian dengan sistem politik
dikehendaki mereka,” kata beliau.
“Saya bukan perkauman. Saya hanya bersikap praktikal dengan
mengatakan kumpulan tersebut wajar ke negara dimana mereka boleh
terjemahkan kepercayaan politik mereka menjadi kenyataan,” tambah beliau
lagi.
Tindakan pemimpin tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak
khususnya DAP yang menyifatkan Ahmad Zahid sebagai gagal memahami
tentang permasalahan yang timbul dalam proses pilihan raya di Malaysia,
malahan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menyifatkan pendirian
tersebut adalah pandangan peribadi dan bukannya mewakili gabungan parti
pemerintah itu.
“Pertama, sistem first-past-the-post yang diamalkan kita sekarang
memberi kedudukan yang tidak seimbang berbanding jumlah undi popular
malah sempadan pilihan raya negara ini telah lama terjejas, dimanipulasi
sejak berdekad-dekad.
“Keduanya, kita mempunyai sistem pilihan raya yang tidak sempurna dan
sebab itu ratusan ribu rakyat Malaysia menunjukkan kekecewaan mereka
terhadap apa yang berlaku. Kita menuntut sistem pilihan raya yang lebih
baik,” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua mengecam
kenyataan Ahmad Zahid tersebut.
Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia telah membanjiri lima perhimpunan
anjuran PR di seluruh negara baru-baru ini bagi membantah dakwaan
penipuan yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu,
serta menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya
yang bebas dan adil.
Penganalisis dan pemerhati menyatakan BN mengekalkan kuasa pusat pada
PRU13 dengan sokongan dan kekuatan pengundi luar bandar, dengan
sebahagian besar kerusi yang dimenangi mereka adalah dari Sabah dan
Sarawak, manakala pengundi kelas pertengahan dan bandar yang tertumpu di
kawasan yang lebih besar tidak lagi menyokong parti pemerintah dan
menyokong PR. - SH
Zahid seolah-olah sedang cuba jolok sarang tebuan.