KOTA BHARU: "Bukankah DAP yang dituduh sebagai
chauvinis, komunis dan kafir harbi selama ini?" kata Mursyidul Am PAS,
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) sebagai reaksi kepada cadangan agar DAP menyertai BN.
Selain itu, kata Tuan Guru Nik Aziz, bukankah DAP yang dituduh sedang
berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian dan berusaha
menggadaikan kalimah Allah?
"Tiba-tiba hari ini DAP ditawar masuk BN?" kata Tuan Guru Nik Aziz kepelikan.
Kafir harbi dan berusaha menjadikan Malaysia negara Kristian adalah
laporan utama akhbar Umno, Utusan Malaysia yang ditujukan kepada DAP
dalam sessi kempen PRU 13 baru-baru ini. Kafir harbi dari tafsiran
perundangan Islam adalah orang bukan Islam yang memerangi Islam dan
mereka dihalalkan darah oleh Islam.
Menurut Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya, beliau membaca
kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang
menyarankan agar DAP menyertai Barisan Nasional (BN) untuk menguatkan
kerajaan BN.
"Saya bagaikan kurang percaya bagaimana seorang
bekas pemimpin Umno yang masih setia kepada parti tersebut boleh
mengeluarkan cadangan seperti ini?" katanya.
Ekoran itu, Tuan
Guru Nik Aziz berkata, "Saya kira inilah bukti jelas menunjukkan bahawa
BN sedar mereka semakin dipinggirkan rakyat."
Politik perkauman
dan penindasan yang diamalkan semakin ditolak sehingga menyebabkan
mereka terpaksa mencari dahan baru untuk berpaut.
"Dalam tidak
sedar, sebenarnya bukan dahan baru yang perlu dicari, bahkan pohon tua
bernama BN itu perlu ditebang terus!" tegas bekas Menteri Besar Kelantan
itu.
Bagi beliau, daripada DAP masuk BN, lebih baik Umno keluar BN dan menyertai Pakatan Rakyat.
"Sedarlah,
ideologi perjuangan Umno hari ini sudah ketinggalan zaman, di
Semenanjung Malaysia yang agak maju dari sudut teknologi dan pendedahan
maklumat, mereka telah ditolak dan Pakatan Rakyat telah menang!
"Sudah sampai masanya BN dan Umno bermuhasabah, jika tidak akan
sampai masanya mereka dibuang terus dari pentas politik negara, pada
masa itu tiada yang akan sudi menerima, jatuh di tanah ayam tidak patuk
itik tidak sudu!" ujar beliau. - Harakahdaily
Patutlah MCA dan Gerakan merajuk. DAP nak dijadikan bini baru.