PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an Herman Tino akan mengadakan
sebuah majlis kesyukuran bagi meraikan kekalahannya dalam merebut kerusi
Parlimen Tanjong Karang daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk
Seri Noh Omar pada 5 Mei lalu.
Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, dia turut
menjemput kesemua 340 pengundi yang mengundinya ke majlis tersebut bagi
menghargai sokongan mereka walaupun tewas.
"Tidak semestinya menang sahaja boleh buat kenduri jadi saya memang
berhajat untuk membuat majlis itu bagi meraikan kekalahan dan para
pengundi yang mengundi untuk saya.
"Bagaimanapun saya masih belum menetapkan tarikh untuk mengadakan majlis berkenaan," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Noh menang dengan majoriti besar apabila memperolehi 20,548 undi
manakala lawannya Mohamad Rashdi Deraman (PAS) memperolehi 16,154 undi
manakala Herman Tino 340.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' itu turut hilang wang pertaruhannya sebanyak RM10,000.
Dalam pada itu, Herman Tino berkata, beliau menerima hakikat
kekalahannya kerana tahu telah bertanding secara jujur walaupun membuat
keputusan itu pada saat-saat akhir.
Jelasnya, walaupun hilang wang pertaruhan dia berbangga dan bersyukur
kerana rakan-rakannya yang membantunya untuk membayar wang berkenaan
tidak pernah membangkitkan isu berkenaan dan terus menyokongnya.
"Saya terima hakikat dengan kekalahan tersebut dan tidak pernah
mempersoalkannya malah saya semakin memahami dengan situasi dan siapa
sebenarnya diri saya," jelasnya.
Tambah Herman Tino, beliau akan terus memperjuangkan kepercayaannya
dalam politik sebagaimana beliau bersungguh-sungguh semasa mencipta nama
sebagai penyanyi.
"Seperti mana bidang nyanyian begitu juga dengan politik. Saya tidak
main-main dan akan terus memperjuangkan kepercayaan saya. Insya Allah
jika ada rezeki saya akan bertanding lagi," katanya. - Mstar
Masuk PR lebih berfaedah.