MELAKA 6 Mei - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali
Rustam menyifatkan sentimen perkauman masyarakat Cina yang begitu tebal
di Parlimen Bukit Katil menjadi antara punca utama beliau tewas dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada calon Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap masyarakat Cina di kawasan
berkenaan yang langsung tidak mengenang jasa dan budi yang telah
dicurahkannya sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama 13
tahun.
"Saya tidak percaya orang Cina di Parlimen Bukit Katil boleh menolak
saya dan kerana undi merekalah saya tewas dalam pilihan raya kali ini.
"Apa jasa Shamsul Iskandar terhadap orang Cina, kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah saya berikan selama ini.
"Mereka (orang Cina) apabila saya dah tolong dalam bidang perniagaan
hingga mereka berjaya dan menjadi kaya, mereka ini lupa jasa yang telah
saya buat,'' katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian dalam sidang
akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, Ayer Keroh di
sini malam ini.
Kira-kira 1,000 penyokong beliau berada di rumahnya bagi memberi sokongan moral kepadanya.
Keputusan PRU-13 yang diumumkan malam ini menyaksikan Mohd. Ali yang
bertanding di kerusi Parlimen Bukit Katil tewas kepada calon PKR itu
dengan majoriti 5,447 undi.
Di sebalik kekalahnya, kata Mohd. Ali, beliau bangga BN dapat
membentuk kerajaan di Melaka apabila mencapai kemenangan dua pertiga
dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN. - UTUSAN
Sudahlah...