KUALA LUMPUR, 12 Mei — Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu
bertindak tegas terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim
yang menganjurkan siri perhimpunan bagi membantah keputusan pilihan raya
umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Zulkifli Noordin (gambar)
berkata ini kerana tindakan Anwar itu adalah penghinaan kepada rakyat
Malaysia yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa.
“SPR perlu menyaman Anwar dan polis perlu mengambil tindakan mengikut
undang-undang sedia ada terhadap Anwar kerana terus mempertikai
keputusan PRU13,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program
“Wacana Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” hari
ini.
“Cara yang dia (Anwar) buat sekarang adalah menghina dan mengkhianati rakyat Malaysia.”
Post Mortem itu anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara.
Pakatan pembangkang mengadakan perhimpunan membantah keputusan PRU13
di Stadium Kelana Jaya, Rabu lepas, semalam di Pulau Pinang, dan hari
ini dilapor akan berbuat demikian di Ipoh.
Zulkifli, yang juga bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu,
berkata siasatan suruhanjaya khas berkaitan dalang insiden pencerobohan
pengganas di Lahad Datu, Sabah, perlu disegerakan bagi mengheret pihak
terbabit ke muka pengadilan.
Beliau berkata ini penting kerana terdapat dakwaan pemimpin
pembangkang terbabit dalam isu insiden itu, yang mengorbankan lapan
anggota polis dan dua anggota tentera terkorban selepas bertempur dengan
musuh. — Bernama
Terima kasih Zul sebab menjadi punca rakyat tolak Umno-BN.