Sekumpulan penyokong pakatan rakyat bertindak agresif apabila menyerang
kenderaan jentera pilihan raya milik calon Barisan Nasional (BN) bagi
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya Datuk Mohammad Nasir
Abdullah di Jalan Tenggiri, di Butterworth hari ini.
Jurucakap
Pilihan Raya Polis Kontinjen negeri ACP Roslee Chik berkata dalam
kejadian 6.30 petang itu, sekumpulan 18 individu yang menunggang
motosikal bertindak melakukan provokasi dan mengepung kenderaan
tersebut.
"Untuk melepaskan diri daripada kepungan itu, berlaku
pergeseran antara kenderaan itu dan motosikal menyebabkan empat
penunggang motosikal terjatuh.
Ekoran pergeseran itu, kumpulan
tersebut mengejar kenderaan itu sehingga ke bilik gerakan DUN Seberang
Jaya di Lorong Tenggiri 7.
"Mereka bertindak agresif merosakkan
kenderaan itu dan memecahkan cermin depan dan sisi menggunakan topi
keledar dan besi," katanya ketika dihubungi di Butterworth malam tadi.
Berikutan
kejadian itu, pasukan tempur ringan (LSF) dan anggota Op Cantas Polis
Diraja Malaysia yang menerima laporan bergegas ke tempat kejadian dan
meleraikan pergaduhan, katanya.
Roslee berkata tiga orang petugas
yang berada di dalam kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang
kecederaan dan membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya.
Beliau
berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan
1987 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana.
Sehubungan
itu, Roslee menasihatkan parti politik supaya mengawal tindakan
penyokong masing-masing supaya tidak melakukan provokasi melampau yang
boleh mencetuskan ketegangan.
"Polis akan meningkatkan pemantauan
di lokasi panas dan berisiko di seluruh Pulau Pinang kerana didapati
kempen pilihan raya semakin panas menjelang empat hari sebelum tarikh
mengundi," katanya. - Bernama
Polis perlu bersikap profesional dalam menjalankan tugas.