Malaysia akan dapat menambah pendapatan sebanyak hingga RM27 bilion jika
cadangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak tujuh peratus
dilaksanakan seperti di negara jiran, Singapura.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata mekanisma
pencukaian baru itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20
bilion hingga RM27 bilion, apabila matang.
"Tahap matang ialah
apabila setiap penduduk Malaysia mula menyumbang ke arah GST. Ia
mestilah dilaksanakan sebaik sahaja penduduk Malaysia bersedia menerima
mekanisma itu," tegas beliau.
Bercakap pada forum "GE13 - What it
means for business? (PRU13 - Apa Ertinya bagi Perniagaan?)" di sini
hari ini, Jala berkata pendidikan tentang GST dan bagaimana ia memberi
faedah kepada ekonomi negara amat penting, dan juga agar warga Malaysia
faham dan menerima mekanisma pencukaian itu nanti.
Beliau juga
berkata GST akan menjana dana tambahan bagi kerajaan untuk dibelanjakan
bagi kesejahteraan rakyat Malaysia, seperti apa yang dijanjikan dalam
manifesto Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum ke-13.
"Walaupun
satu cukai baharu diperkenalkan, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak telah memberikan komitmen untuk menurunkan cukai korporat dan
juga cukai pendapatan peribadi.
"Ini menunjukkan kerajaan
mahukan keseimbangan dalam setiap langkah yang diambilnya, sama ada dari
sudut ekonomi mahupun politik," kata Jala yang menerajui Unit
Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Sementara itu,
beliau menafikan dakwaan bahawa janji-janji yang dibuat oleh kerajaan
sebelum pilihan raya akan meningkatkan nisbah hutang berbanding keluaran
dalam negara kasar (KDNK), daripada 53 peratus sekarang.
Beliau
berkata kerajaan komited untuk mengekalkan hutangnya di bawah paras 55
peratus berbanding siling KDNK yang telah ditetapkannya sebelum ini.
"Pada
Forum Ekonomi Dunia di Davos, apabila saya mencadangkan mekanisma
Malaysia yang menetapkan 55 peratus sebagai siling bagi nisbah hutang
berbanding KDNK, ramai pakar ekonomi dan pemimpin dunia berkata itu
mustahil.
"Ini adalah kerana Malaysia amat unik sebab hutangnya
masih di bawah paras 55 peratus," kata Jala sambil menyebut contoh
negara-negara seperti Singapura (nisbah hutang berbanding KDNK 100
peratus), United Kingdom (80 peratus) dan Perancis (81 peratus).
Di
samping mendakwa matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020
boleh dicapai malah dua tahun lebih awal, memandangkan usaha ekonomi
kerajaan dan sektor swasta yang menyeluruh, Jala berkata Malaysia berada
di landasan yang teguh untuk mencatatkan lebihan belanjawan menjelang
2020.
Kata beliau dalam empat tahun kebelakangan ini dengan Najib
sebagai Perdana Menteri, defisit belanjawan negara menunjukkan
penyusutan yang ketara tahun demi tahun, dan memberikan jaminan bahawa
rekod pencapaian ini akan berterusan.
"Tahun lepas, defisit
belanjawan ialah 4.5 peratus, dan tahun ini kita menjangka ia susut
kepada empat peratus. Dengan segala usaha yang diambil, saya pasti
harinya akan tiba apabila kita boleh mencapai lebihan belanjawan itu,"
tegas beliau.
Mengenai peranan kerajaan dalam perniagaan, Jala
berkata ia akan beransur-ansur keluar dari lebih banyak perniagaan tahun
ini dan pada masa akan datang.
Melalui Peranan Kerajaan dalam
Perniagaan (GRIB), kata beliau, kerajaan telah pun mengurangkan, malah
menarik keluar kepentingannya dalam 13 syarikat, daripada 33 entiti yang
dikenal pasti oleh Pemandu.
"Kita mengadakan mesyuarat bulanan
yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh semua ketua
syarikat yang berkaitan mengenai perkara ini.
"Kerajaan berhasrat
menghentikan peranannya dalam perniagaan. Tetapi ini tidak boleh
dilakukan dalam masa sehari. Akan ada lagi perniagaan yang melibatkan
peranan kerajaan, disebabkan kepentingannya dalam kehidupan harian
rakyat Malaysia," tegas Jala - Bernama
Men'jala' sakan nampak.