Beberapa orang pemimpin utama Umno digugurkan dari senarai jemaah
menteri yang diumumkan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak petang
ini.
Paling menonjol adalah MP Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar
yang sebelum ini mengetuai portfolio kementerian pertanian dan industri
asas tani.
Noh yang juga timbalan pengerusi BN Selangor tidak
dikekalkan dalam kabinet kali ini susulan kegagalan BN untuk merampas
semula negeri tersebut dalam pilihan raya 5 Mei.
Turut digugurkan
ialah ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang
sebelum ini mengetuai kementerian kerja raya.
Selain itu,
pemindahan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ke kementerian kewangan juga
menjadi perhatian memandangkan beliau sebelum ini menjadi menteri yang
bertanggungjawab ke atas parlimen dan hal ehwal undang-undang.
Jumlah
portfolio kementerian kali ini berkurangan apabila kementeri pelajaran
dan kementerian pengajian tinggi digabungkan semula.
Bagaimanapun, jumlah anggota jemaah menteri kali ini adalah lebih besar berbanding sebelumnya.
Paling
ketara adalah penyertaan sebilangan besar pemimpin dari Sabah dan
Sarawak – seramai 13 orang – di jawatan menteri dan timbalan perdana
menteri.
Antara tokoh BN yang menonjol dari blok tersebut ialah
MP Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan yang diberi tanggungjawab untuk
mengetuai kementerian perumahan, kerajaan tempatan dan kesejahteraan
bandar.
Ketua pemuda BN Khairy Jamaluddin juga mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai menteri belia dan sukan dalam kabinet Najib.
Turut
menjadi perhatian ialah pemimpin Hindraf P Waythamoorty yang menjadi
timbalan menteri di jabatan perdana menteri dan juga pemimpin pertubuhan
pemantau rasuah Transparency International Malaysia (TI-M), Paul Low
Seng Kuan.
Najib juga menyenaraikan ketua pegawai operasi Maybank,
Datuk Seri Abdul Wahid Omar untuk mengetuai portfolio jabatan perdana
menteri.
Dalam ucapannya, Najib berharap "kabinet berimbang" dari
wakil golongan berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda itu akan
memberi kelangsungan kepada pentadbirannya.
Beliau juga berharap pemimpin berkenaan akan menumpukan kebolehan dan kepakaran masing dalam menangai isu integriti dan rasuah.
"Mereka
yang merupakan teknokrat akan sumbang kepakaran khusus yang ada pada
mereka, untuk sumbang idea kreatif dan bernas untuk petimbangan
kerajaan.
"Selain kebolehan mereka, yang muda akan bawa citarasa golongan muda kepada pertimbangan kerajaan.
"Ini
kabinat yang mampu meneruskan dan menjalankan agenda transformasi
nasional di samping meningkat kepercayaan dan keyakinan rakyat,"
katanya. - Malaysiakini