JOHOR BAHRU – Hasrat seorang penyelia tukang cuci di sebuah syarikat
di Singapura mahu bertugas seperti biasa tidak kesampaian apabila dia
mati akibat ditetak di kepala dan beberapa bahagian badan lain
berhampiran rumahnya di Taman Skudai Baru di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, mangsa T. Thulukanam (gambar
kecil), 53, disahkan meninggal dunia selepas kira-kira sejam dirawat di
Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Anak mangsa, Parimala Dewi, 23, berkata, sebelum tragedi itu, ayahnya
sedang menunggu bas seperti biasa di perhentian bas yang terletak
kira-kira 100 meter dari rumah untuk pergi bekerja di Singapura.
Bagaimanapun, difahamkan semasa menunggu bas itu, secara tiba-tiba
tiga lelaki muncul dan terus menyerang mangsa menggunakan senjata tajam.
Parimala memberitahu, dia dan keluarga hanya mengetahui kejadian
menimpa ayah apabila ayah pulang dalam keadaan berlumuran darah. - Kosmo