08 May 2013

KPN: Tindakan segera terhadap pemilik laman sosial sebar isu perkauman

KUALA LUMPUR - Polis memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik laman sosial yang cuba mencetuskan provokasi perkauman selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
  
Menyifatkan perbuatan itu boleh mengancam kestabilan negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata provokasi sedemikian boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara.
  
Polis akan menahan mereka yang disyaki menyebar hasutan sedemikian, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
  
Beliau berkata polis juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik laman sosial yang cuba membangkit kemarahan penyokong parti politik, termasuk menyebar dakwaan kononnya wujud pengundi hantu serta bekalan elektrik terputus ketika penjumlahan undi di Bentong, Pahang Ahad lepas.
  

"Bila kita siasat, tiada bekalan elektrik terputus seperti yang diuar-uarkan di laman sosial seperti di pusat penjumlahan undi di Bentong, tindakan ini tidak ubah seperti provokasi bagi menaikkan kemarahan penyokong," katanya.

Berhubung dakwaan pekerja asing dipukul serta bas mereka dirosakkan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, Ismail berkata pihaknya kini memburu pihak yang bertanggungjawab dalam insiden itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
  
Dalam pada itu, beliau menyelar segelintir pihak yang mengaitkan kononnya polis terlibat dalam membawa pengundi hantu pada hari pengundian.

Ismail berkata ini merupakan tuduhan tidak berasas dan bertujuan memburukkan imej polis di mata masyarakat.
  
"Tuduhan ini amat tidak munasabah, mereka tunjuk gambar di laman sosial, gambar trak polis sahaja... kemudian tuduh polis bawa pengundi hantu, tuduhan ini tidak berasas sama sekali," katanya. - Bernama

Mahu juga ingat, polis bekerja untuk rakyat.