KUALA LUMPUR 4 MEI: Rakyat tidak perlu takut dengan peralihan kuasa
kerana proses itu bukan sahaja bersejarah, bahkan berlangsung aman
lantaran dikendalikan oleh Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat
(MPKPR) yang dipimpin bekas jeneral dan polis, kata Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Beliau berkata, rakyat harus mengambil peluang dalam tempoh kurang 24
jam untuk mengubah politik Malaysia menjadi lebih baik berdasarkan
sambutan ratusan ribu rakyat pelbagai kaum yang hadir ke program Pakatan
termasuk di negeri yang pernah menjadi kubu kuat Umno BN.
Keyakinan sebuah kerajaan akan dibentuk selepas PRU ini digunakan
Ketua Umum KEADILAN itu untuk mengemukakan beberapa tindakan utama Pelan
Pakatan Rakyat sebagai usaha untuk memenuhi manifesto dalam tempoh
beberapa bulan selepas memerintah.
“Seperti selalu saya tegaskan, fokus pelan hala tuju ini mesti
pro-rakyat dan terdiri daripada langkah yang mempunyai kedua-dua kesan
segera dan manfaat untuk jangka masa panjang.
“Tidak seperti BN, Pakatan mempunyai keberanian untuk membuat
pembaharuan yang membawa kembali kebangkitan, kemerdekaan dan demokrasi
tulen kepada Malaysia,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Beliau berterima kasih kepada rakyat dan penyokong atas kepercayaan,
keberanian dan visi yang dipamer dalam membentuk perubahan kepada
Malaysia.
“Pilihan raya ini menandakan ketegasan menakjubkan, aman dan revolusi demokratik yang akan membawa Malaysia ke era baru.
“Mari kita pergi keluar mengundi dalam kekuatan pada hari Ahad.
Menggalakkan semua kawan-kawan, saudara-mara dan jiran-jiran untuk
membuang undi mereka,” katanya.
Di samping itu, beliau turut memberi amaran kepada Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan sementara supaya tidak melakukan
sebarang penipuan.
“Rakyat tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penipuan. Kami akan
berwaspada dengan semua aktiviti mencurigakan untuk memastikan hanya
rakyat Malaysia berhak menentukan nasib negara kita. Rakyat perlu
menggunakan hak yang ada kerana ini negara kita, sebuah tanah yang
dijanjikan,” kata Anwar. - Keadilandaily
SPR juga diingatkan yang hidup ini ibarat roda. Ingat di bawah semasa sedang di atas.