08 May 2013

Dayangku Intan sedia bertanding lagi!

"Ini hanyalah permulaan," itulah kata-kata semangat calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Pengerang, Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid, berhubung kekalahannya di Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Ahad lalu.

Keputusan PRU13 memihak kepada calon Barisan Nasional, Azalina Othman Said dengan 26,992 undi manakala Dayangku Intan pula hanya memperoleh 4,484 undi sahaja.

Menurut Dayang, walaupun kecewa dengan keputusan itu, namun semangatnya untuk membela nasib di Pengerang tetap utuh.

"Kekalahan ini bukanlah bererti saya perlu berundur dari dunia politik. Saya tetap mempunyai kelompok penyokong yang tersendiri.

"Malah, perjuangan saya dalam membela nasib mereka masih perlu diteruskan. Insya-ALLAH, jika diberi peluang untuk pilihan raya akan datang, saya akan terus bertanding.


"Saya akan tetap berjuang dan membantu selagi terdaya. Saya juga akan seimbangkan aktiviti seni seperti nyanyian yang sebati dalam diri," katanya yang mengakui akan berjuang secara ikhlas dalam dunia politik.

Selain Azalina dan Dayang, Pengerang turut menyaksikan Mohd Azaman Johari, calon Bebas yang hanya memperoleh 795 undian.

Sementara itu, Zass cuba mendapatkan komen penyanyi Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin yang kalah pada PRU13 bertanding di Parlimen Jempol, namun gagal dihubungi sehingga kini. - SH