JAKARTA 3 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim didakwa bekas teman karibnya, Raja Petra Kamaruddin
sebagai dalang insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu,
Sabah.
Selain Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Raja Petra turut
mendedahkan, dua pemimpin PKR lain yang terlibat dalam rancangan
menggugat keselamatan negara ialah Tian Chua dan R. Sivarasa.
Pengendali laman web Malaysia Today itu berkata, Anwar, Tian
Chua dan Sivarasa pernah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan
Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang bertujuan merancang
pencerobohan pengganas Kiram.
Menurut Raja Petra, permulaan kepada perancangan membawa masuk
pengganas Kiram bertitik tolak pada pertemuan antara Anwar dan Misuari
di Hotel Crown Plaza, Jakarta pada 16 Julai tahun lalu.
Selepas pertemuan sulung itu, pakatan tiga pemimpin PKR itu tegas
Raja Petra, mengatur perjumpaan lain untuk merancang strategi bagi
menggugat keselamatan negara.
"Selain Anwar, orang seperti Tian Chua dan Sivarasa juga terlibat
(dalam perancangan dan pertemuan dengan Misuari)," dedah Raja Petra
kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.
Raja Petra tiba dari Manchester, United Kingdom pada Rabu lalu untuk
memberi keterangan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit
Aman di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Beliau sebelum ini pernah mendakwa mempunyai maklumat bahawa Ketua
Pembangkang itu mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas
Kiram di Lahad Datu dalam artikelnya.
Artikel berkenaan yang bertajuk Kisah di sebalik insiden Lahad Datu disiarkan Raja Petra di dalam laman web Malaysia Today pada 25 Mac lalu.
Raja Petra turut menegaskan, Anwar tidak pernah menafikan pertemuan dengan Misuari.
Sehubungan itu, Raja Petra mengesyaki ada agenda tersembunyi antara Anwar dan Misuari.
"Anwar tidak pernah menafikan beliau pernah bertemu dengan Misuari.
Tian Chua dan Sivarasa juga tidak menafikan pertemuan itu," sambung Raja
Petra lagi.
Tegas Raja Petra, pemimpin-pemimpin PKR itu sebaliknya hanya menafikan perjumpaan itu ada kaitan dengan isu Lahad Datu.
Raja Petra berkata, kesanggupan beliau terbang jauh ke Jakarta ialah
untuk direkodkan keterangannya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk
membantu siasatan.
Justeru, beliau tidak akan menafikan apa yang beliau tulis kepada
polis dan akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penerbitan artikel
itu. - Utusan
Sebelum ini Zahid ada kata akan mengambil tindakan ke atas 3 pemimpin PKR selepas pilihanraya. Adakah Anwar akan ditahan jika Umno-BN berjaya dalam PRU13?