KUALA TERENGGANU - Calon paling tua pada Pilihan Raya Umum ke-13, Maimun
Yusof, 94, yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas
tiket Bebas tetap gembira walaupun hanya memperoleh 182 undi yang
sekaligus hilang wang pertaruhan.
Maimun yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata biarpun tidak
memperoleh undi yang banyak namun ia tidak mengecewakan kerana masih ada
yang mengundinya.
Warga emas itu mengakui agak gementar pada proses pengumuman yang dilakukan di Stadium Negeri, malam tadi.
"Mulanya Tok rasa agak berdebar, tambah-tambah bila tengok banyak
gambar dacing namun kini Tok lega...Tok terima dengan hati terbuka
keputusan ini.
"Tok tidak kisah kalah atau menang itu adalah adat bertanding," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tok Mun berkata beliau bersiap seawal pukul 7.30 malam untuk ke tempat pengiraan undi.
Warga emas itu hadir di tempat pengiraan undi seorang diri dengan menaiki kereta yang ditempah khas.
Walaupun tahu keputusan tidak memihak kepadanya namun tetap setia
menunggu sehingga keputusan selesai diumumkan Pegawai Pengurus SPR Datuk
Adzlan Mohd Dagang.
"Tok nak ucapkan bebanyak terima kasih kepada pengundi Tok walaupun Tok
tidak kenal mereka, tapi mereka tetap memangkah Tok dan buktinya mereka
masih sayangkan Tok," katanya.
Beliau berkata walaupun jumlah undi semakin berkurangan dan wang
pertaruhan sekali lagi hangus, beliau tidak menyesal kerana telah dapat
melaksanakan amanah yang diberikan.
Maimun bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu menentang
calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong dan calon Pas Raja Kamarul
Bahrin Shah Raja Ahmad yang memenangi kerusi berkenaan.
Pada 2008, Maimun yang juga bertanding atas tiket Bebas di kawasan
parlimen yang sama dan hilang wang deposit selepas hanya memperoleh 685
undi menentang calon BN (Allahyarham) Datuk Razali Ismail dan calon Pas
Mohamad Sabu. - Bernama
Kategori membazir.