PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) punya persefahaman yang jelas
berhubung jawatan Ketua Pembangkang setelah perikatan itu tewas kepada
Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum, kelmarin.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pas dan DAP setakat
ini sudah memberikannya lampu hijau bagi meneruskan tanggungjawab yang
digalasnya penggal lalu.
“Setakat ini, DAP dan Pas masih berpendirian saya harus teruskan. Tapi
akan dibincang lagi,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian
Online.
Persoalan mengenai jawatan ketua pembangkang muncul ekoran komposisi
kerusi yang dimenangi PR menunjukkan DAP di depan dengan 38 kerusi, PKR
(30) dan Pas (21) kerusi.
“Dulu pun bila kerusi DAP mengatasi PKR setelah beberapa lompatan
berlaku, saya menawarkan diri untuk undur menyerahkan tapi kedua-dua
parti DAP dan Pas minta saya meneruskan.
“Sekarang pun saya ada beritahu kepada DAP, saya tidak... tidak ada
masalah sebenarnya kalau YB Lim Kit Siang jadi ketua pembangkang.
Kelayakan dia, pengalaman dia, saya boleh tumpu kerja-kerja lain,” ujar
Anwar.
Dalam satu sidang media semalam, Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen
Gelang Patah berkata, parti itu akan menyokong Anwar sebagai ketua
pembangkang bahkan sebagai perdana menteri.
"...tetapi memandangkan keputusan pilihan raya tidak memihak kepada PR,
maka DAP akan tetap menyokong Anwar sebagai ketua pembangkang,” kata
Kit Siang. - SH