Ahli MCA Melaka yang memegang jawatan dari peringkat kampung hingga ke peringkat negeri akan meletak jawatan mereka esok.
Pengerusi
MCA Melaka Datuk Gan Tian Loo berkata keputusan itu dibuat bagi
menghormati resolusi pucuk pimpinan MCA pusat yang menetapkan tiada
wakil parti itu dalam kerajaan negeri ekoran prestasi buruk dalam
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.
"Esok, kesemua
ahli MCA yang menjawat apa-apa jawatan di negeri ini... ketua kampung,
ahli jawatankuasa dan kemajuan kampung, pegawai seranta, ahli lembaga
pelawat hospital, penyelaras Japerun (Pejabat Jawatankuasa Dewan
Undangan Negeri) semua akan letak (jawatan).
"Kita juga tidak akan menyertai barisan Exco kerajaan negeri Melaka," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
Beliau
berkata ketiga-tiga calon MCA yang menang pada PRU13 iaitu Datuk Lai
Meng Chong bagi kerusi DUN Machap, Lim Ban Hong (Klebang) dan Datuk Ng
Choon Koon (Bemban) juga bersetuju untuk tidak menerima tawaran sebagai
anggota Exco.
Katanya beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Ir Idris Haron bagi menjelaskan pendirian itu.
Perwakilan
khas MCA sebelum ini mengumumkan untuk tidak menerima sebarang jawatan
sama ada di peringkat kampung hingga ke Persekutuan sekiranya parti itu
mencatatkan keputusan lebih buruk berbanding pilihan raya 2008.
Selepas
PRU12, dua anggota MCA Melaka dilantik sebagai Exco kerajaan negeri
dengan Datuk Seet Har Cheow sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,
Pembangunan Pekan Kecil, Pemulihan Projek dan NGO serta Gan sendiri
selaku Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan.
Seet
yang merupakan bekas Adun Klebang bagaimanapun tidak tersenarai sebagai
calon BN pada PRU13 manakala Gan kalah kepada calon DAP Goh Leong San
di DUN Duyong dengan majoriti 205 undi.
Dalam PRU13, MCA bertanding di tujuh DUN dan dua kerusi Parlimen di negeri ini.
Di
IPOH, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang mempertahankan kerusi DUN
Chenderiang pada pilihan raya umum Ahad lepas, berkata beliau
menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dan menolak sebarang jawatan
dalam kerajaan negeri jika ditawarkan.
Dr Mah, satu-satunya
Adun BN daripada MCA di Perak, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan
persetujuan yang dicapai dan diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa
parti itu sebelum ini.
"Sebagai orang parti (party man),
saya menghormati dan menurut keputusan yang dibuat oleh parti... saya
tidak akan terima (sebarang jawatan).
"Agenda diri tidak
penting, yang penting agenda untuk seluruh masyarakat," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini
hari ini.
Dr Mah yang sebelum ini ialah Exco Kesihatan,
Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan
Hal Ehwal Bukan Islam berkata beliau akan menumpukan untuk memberi
perkhidmatan kepada rakyat di kawasannya. - Bernama