Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata polis akan
memanggil penganjur perhimpunan membantah keputusan pilihan raya umum
ke-13 di Stadium Kelana Jaya malam tadi bagi membantu siasatan.
Beliau
berkata selain itu polis juga akan mendapatkan keterangan daripada para
pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap pada perhimpunan itu.
Katanya
28 daripada 33 pemimpin pakatan yang berucap pada perhimpunan itu
didapati memberi ucapan berbau hasutan, yang menyalahi Seksyen 4(1) Akta
Hasutan 1948.
Beliau berkata penganjur perhimpunan itu gagal
mematuhi Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman iaitu memberi notis kepada
pihak polis mengenai penganjuran perhimpunan itu, 10 hari sebelum
acara itu diadakan.
"12.20 tengah hari semalam kita terima
notis, kita minta tunda supaya berlaku adil kepada penduduk sekitar,"
katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Bagaimanapun,
katanya pihak penganjur tetap meneruskan perhimpunan itu dan
mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kegusaran masyarakat sekeliling
serta pengguna lebuh raya kerana sikap tidak bertanggungjawab peserta
perhimpunan yang meletakkan kenderaan sesuka hati dan berlapis-lapis
sehingga mengganggu aliran lalu lintas.
Tun Hisan berkata
stadium Kelana Jaya itu hanya mampu menampung 25,000 orang dan mempunyai
kira-kira 700 lot parkir dan menurutnya jika pihak penganjur mengikut
peraturan, pihak polis boleh mencadangkan tempat yang lebih sesuai bagi
penganjuran perhimpunan itu.
"Cuba bayangkan apa yang akan
berlaku jika berlaku kecemasan dalam keadaan lalu lintas yang sesak. Ini
menunjukkan mereka ini hanya mementingkan diri sendiri tanpa
memperdulikan kesan perbuatan mereka ke atas masyarakat setempat",
katanya.
Ketika ditanya mengapa penganjur boleh memaklumkan
kepada orang-ramai lebih awal menerusi laman sosial mengenai penganjuran
perhimpunan itu tetapi memilih tengah hari semalam untuk memberi notis
kepada polis, Tun Hisan berkata mereka ini sebenarnya adalah golongan
bijak dan terpelajar tetapi sengaja hendak mencabar undang-undang.
katanya
polis ada menerima beberapa laporan polis mengenai insiden semalam
termasuk daripada seorang wanita yang mendakwa keretanya dibaling dengan
botol.
katanya belum ada sebarang tangkapan dibuat kerana
pihak polis masih belum selesai membuat siasatan untuk dihantar kepada
Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.
Tun Hisan
berkata perhimpunan semalam akan turut disiasat mengikut Seksyen 124B
Kanun Keseksaan kerana melibatkan aktiviti yang memudaratkan demokrasi
berparlimen dan ini merupakan satu kes yang berat kerana mereka yang
disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
"Kita memandang berat kerana mereka secara terang-terangan melanggar undang-undang, tidak hormat kepada masyarakat setempat".
Beliau
juga berkata penganjur dan peserta tidak boleh mempertahankan tindakan
mereka sebagai hak asasi tanpa mempedulikan dengan hak asasi penduduk
setempat dan juga anggota polis.- Bernama
Lain yang merompak lain pula yang kena tangkap.