Cleveland (Ohio): Tiga wanita yang diculik lebih sedekad lalu ditemui
hidup dalam tingkat bawah sebuah rumah di Ohio yang menjadi tempat
tahanan mereka selama ini.
Amanda Berry, 26; Gina DeJesus, 23, dan Michelle Knight, 32,
diselamatkan dari rumah berkenaan hanya beberapa kilometer dari tempat
mereka disahkan hilang 10 tahun lalu.
Penahanan mereka
terbongkar selepas seorang jiran lelaki terdengar Amanda - yang hilang
ketika berusia 16 tahun - menjerit meminta tolong selepas lelaki yang
mengurung mereka tiada di rumah. Selepas 10 tahun menjadi tahanan,
Amanda, Gina dan Michelle akhirnya dibebaskan apabila Charles Ramsey
terdengar jeritan itu ketika menikmati hidangan di rumahnya. Ariel
Castro, 52, ditahan polis kerana dipercayai ada kaitan dengan kes
penculikan berkenaan bersama dua saudara kandung lelakinya yang
masing-masing berusia 50 dan 54 tahun.
Saudara Amanda mengesahkan seorang daripada kanak-kanak dalam rumah
berkenaan adalah anaknya yang dilahirkan ketika dia dikurung.
Sumber
berkata, kanak-kanak itu dipercayai berusia enam tahun. Ketiga-tiga
wanita dan kanak-kanak terbabit dibawa ke Pusat Perubatan MetroHealth
dan dilaporkan mereka mengalami kekurangan air yang serius, selain tidak
mendapat makanan berkhasiat mencukupi.
Kehilangan Amanda dan
Gina menarik perhatian seluruh penduduk Cleveland sejak sedekad lalu
apabila keluarga mangsa terus mengadakan majlis memperingati mereka.
Berita kehilangan itu juga disiarkan secara berterusan dalam media tempatan.
Mangsa diculik di sebatang jalan sama sebelum ini dan ditemui di sebuah rumah yang terletak kira-kira 4.8 kilometer dari situ.
Penculik mereka juga sering dilihat orang ramai dari semasa ke
semasa. Sementara itu, Ramsey berkata, dia ternampak Amanda - tetapi
tidak mengenalinya - di pintu yang terkuak sedikit.
Katanya, Amanda meminta tolong supaya dikeluarkan dari rumah itu kerana dikurung sejak sekian lama.
“Kami terpaksa menendang bawah pintu untuk membukanya.
“Nasib baik pintu itu diperbuat daripada aluminium murah,” katanya.
Selepas
terbuka, kata Ramsey, Amanda merangkak keluar bersama anaknya. Amanda
kemudian berlari ke seberang jalan untuk menghubungi polis sambil
memperkenalkan diri melalui talian kecemasan 911.
“Tolong, nama saya Amanda Berry. Saya telah diculik dan hilang sejak 10 tahun tetapi sekarang saya sudah bebas,” katanya.
Amanda juga menyatakan identiti lelaki yang menahan mereka sebagai Ariel Castro.
Kehilangan
Amanda disedari sejurus selepas dia menghubungi kakaknya untuk
memaklumkan dia dalam perjalanan pulang menumpang seseorang dari tempat
kerjanya di restoran Burger King. Media tempatan melaporkan, Castro
ditahan di sebuah restoran McDonald’s berhampiran. Menurut The Plain
Dealer, suspek tinggal di rumah itu sejak 1992 dan pernah ditahan polis
atas kesalahan keganasan domestik pada 1993.
Sumber berkata,
wanita terbabit dirantai sepanjang tempoh mereka di kurung di rumah
berkenaan. “Polis menemui beberapa rantai yang digantung dari siling
dalam rumah itu,” katanya.- Daily Mail