ALOR SETAR - Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti tiga pemimpin
pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan
bersenjata di Lahad Datu, Sabah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata segala
maklumat dan butir-butir mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada
Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
"Apa yang boleh saya katakan, dua daripada pemimpin pembangkang itu daripada Semenanjung dan seorang lagi daripada Sabah.
"Maklumat kini sudah terkumpul dan semua butir-butir itu akan
diserahkan sepenuhnya di Pejabat Peguam Negara untuk tindakan
selanjutnya," katanya ketika sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja
Menteri Pertahanan di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas di sini hari
ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin pembangkang tersebut.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu dianggap oleh sesetengah pihak
tertentu sebagai permainan politik, maka segala tindakan akan dilakukan
sejurus selepas pilihan raya umum ke-13.
"Sesuatu tindakan perundangan hanya boleh dilakukan apabila keterangan dirakamkan, direkodkan, kami dah ada semua itu.
"Bila akan diserahkan... tunggu selepas pilihan raya dan tindakan juga
akan diambil lepas pilihan raya, kita tidak mahu mereka kata kita
bermain politik, jadi kita serah kepada Pejabat Peguam Negara untuk
mengelakkan dicapkan sandiwara politik Umno," katanya. - Bernama
Kita tengok siapa yang kena lepas pilihanraya.