KUALA LUMPUR, 2 April — Datuk Saifuddin Abdullah terkejut dengan
pengumuman Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan sebagai calon kerusi
parlimen Termerloh kerana pada awalnya menjangkakan akan berlawan dengan
calon dari PKR.
Pengumuman
Nasrudin dilakukan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ibu
Pejabat parti tersebut, di Jalan Raja Laut awal hari ini.
“Saya menjangkakan PKR akan bertanding di sini kerana mereka telah
bekerja keras sejak selepas PRU 12 lagi,” kata timbalan menteri
pendidikan tinggi (gambar) itu dalam satu mesej sistem pesanan ringkas (SMS) kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Apa-apa pun BN bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja... selamat
datang ke Temerloh,” tambah beliau merujuk kepada gabungan pemerintah
Barisan Nasional.
Saifuddin juga berkata telah mengucapkan tahniah kepada bakal
lawannya serta menjanjikan pertandingan yang sihat apabila tiba masa
kempen pilihan raya nanti.
“Saya telah hantar SMS kepada Nasrudin tadi dan ucap tahniah kerana dipilih bertanding.
“Kalaulah saya masih lagi dipilih bertanding, saya akan berkempen
sihat sama seperti masa saya bertanding dengan Nizam daripada PKR pada
PRU 12 yang lalu,” ujar beliau lagi.
Walaubagaimanapun, Saifuddin berkata pengumuman terbaru tersebut
tidak akan menggugat kubu Umno dan Barisan Nasional di Temerloh dan
optimis sokongan penduduk setempat masih kuat terhadap kerajaan
pemerintah.
“Berdasarkan rekod perkhidmatan BN, siapapun calon pembangkang, saya
optimis yang pengundi akan terus menyokong BN,” katanya lagi.
Dalam Pilihan Raya 2008, Saifuddin menewaskan calon PKR Ahmad Nizam Bin Hamid dengan majoriti 2,441 undi.
Walau bagaimanapun, pimpinan PKR Termeloh yang dihubungi turut
terkejut dengan pengumuman tersebut serta mengatakan mereka tidak
dimaklumkan mengenai perkara itu.
Pemimpin PKR yang enggan namanya didedahkan itu berkata beliau akan
menghubungi kepimpinan pusat Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan
penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut.
“Ia satu keputusan mengejut... perkara ini kena tanya pusat.
“Ini satu keputusan unilateral, tanpa memberikan sebarang pertukaran
kerusi ataupun penjelasan selanjutnya,” kata pemimpin PKR itu kepada The
Malaysian Insider.
Nasrudin, 43 sebelum ini pada Pilihan Raya 2008 bertanding dikerusi
Parlimen Maran tetapi tewas kepada calon BN, Ismail Bin Abd Muttalib.
Pada Pilihan Raya 2008, BN berjaya memenangi 38 kerusi daripada 42
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 daripada 14 kerusi parlimen di
Pahang. - TMI
Kalau saya pengundi situ saya sendiri akan mengundi Datuk Saifuddin.