Kejadian letupan berhampiran bilik gerakan Barisan Nasional (BN) Nibong
Tebal malam tadi adalah daripada alat letupan rekaan (IED).
Ketua
Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis percaya bahan
letupan IED yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah
itu adalah perbuatan khianat yang dirancang sekumpulan profesional.
Polis
menemui dua IED dalam longgokan sampah dan percaya ia bertujuan
menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru
hara di kawasan ceramah, katanya kepada pemberita selepas melawat
tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata berikutan kejadian
itu, polis menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan
Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah bagi menyiasat kejadian itu dan
mengesan mereka yang terlibat.
Setakat ini polis telah merekodkan keterangan dari tujuh saksi, katanya.
Dalam
kejadian pukul 10.15 malam tadi, seorang petugas keselamatan berusia 35
tahun cedera di kaki kanan terkena serpihan sampah akibat letupan itu.
Ketika
kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nan sedang
menyampaikan ceramah pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang.
Abdul
Rahim berkata kedua-dua bahan letupan sebesar kotak rokok yang
disembunyikan dalam sampah itu telah ditetapkan masa berbeza untuk
menghasilkan dua kali letupan.
Selepas letupan pertama,
sepasukan anggota polis dan forensik polis menjalankan siasatan di
tempat kejadian dan menemui satu lagi bahan IED itu yang kemudian
diletupkan pada pukul 3 pagi, katanya.
Beliau berkata
berdasarkan siasatan, bahan letupan itu bukan untuk mencederakan orang
tetapi bagi menghasilkan bunyi yang kuat untuk menakutkan orang ramai
dan menimbulkan suasana huru hara di tempat ceramah.
Polis
memandang serius kejadian itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan
tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan keadaan huru hara di negeri
ini.
"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran
tempat kejadian tetapi ia tidak berfungsi dan polis menyiasat kes itu
mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya - Bernama
Sebelum ini kata cedera parah, sekarang kata angkara profesional. Sudahlah...